| | |

Panas terik menyengat, Hutan Lipur Lata Kolam Air Deru Ecopark jadi hotspot pengunjung!

Source: Harian Metro

Besut: Lebih 1,000 orang serbu hutan lipur untuk nikmati angin sejuk dan mandi-manda menyusul cuaca panas dan fenomena El Nino.

Kami melawat hutan lipur Lata Kolam Air Deru Ecopark, Kampung La, Hulu Besut, dan melihat lebih ramai datang dengan keluarga dan kawan-kawan sejak pagi.

Haryanti Mat Razali, 33, dari Kampung Raja berkongsi, “Ini kali kelima kami datang, aprove tahap kebersihan kawasan, tandas dan tempat berkelah yang selesa.

“Kebersihan dan keselamatan sangat penting, terutama dengan anak kecil. Sungainya di bahagian bawah lebih cetek, sesuai untuk anak kecil mandi.”

Nuraadila Suhaimi, 26, berkata dia dan rakan-rakannya datang kerana terpukau dengan keindahan kawasan itu.

“Air sungainya jernih dan kehijauan di sekeliling sangat memukau. Hutan lipur lebih popular ketika musim panas kerana sungainya yang sejuk sesuai untuk mandi-manda.”

Pengurus operasi Hutan lipur Lata Kolam Air Deru Ecopark, Ahmad Shahrin Kaswadi, melaporkan peningkatan pengunjung pada hujung minggu, kini mencapai 1,000 orang sehari, berbanding 300 orang hari biasa.

“Kawasan mandi-manda buka setiap hari dari 8.30 pagi hingga 7 malam. Aktiviti malam lebih santai, sesuai untuk pengunjung yang menginap.

“Peningkatan ini disebabkan kepercayaan pengunjung terhadap keselamatan mandi di sungai, terutama ketika musim panas. Ramai yang akan datang sebelum Ramadan untuk mandi bersama keluarga sebelum berpuasa,” katanya.

Keselamatan tetap diutamakan dengan anggota penyelamat yang sentiasa berjaga untuk memastikan keselamatan pengunjung yang beraktiviti air.

Similar Posts