Giliran Copot Pula kali ini! Kereta bekas kapten kebangsaan itu Dipecahkan & Diketuk Dengan Tukul Besi
Sumber: @sportsrevobysafiqrahim (Instagram) | JOHOR Southern Tigers (Facebook)
Selepas insiden menimpa dua tokoh penting negara, seorang lagi pemain bola sepak kebangsaan dilaporkan diserang pada malam tadi (Selasa).
Menurut sumber, pemain Johor Darul Takzim (JDT), Safiq Rahim, dihampiri dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal selepas dia mengambil barang di Pusat Latihan JDT Sri Gelam, Johor Bahru, sekitar jam 10 malam.
Semasa kejadian, kereta Honda City yang dipandu oleh Safiq didekati oleh motosikal yang ditumpangi oleh dua lelaki.
“Pembonceng motosikal itu kemudian mengeluarkan tukul besi dan mengetuk cermin belakang kereta Safiq, menyebabkan dia berhenti.
“Dua lelaki itu kemudian turun dan menunjukkan tukul sebelum Safiq mengundurkan keretanya dan meninggalkan tempat kejadian,” katanya.
Kejadian itu menyebabkan cermin belakang kereta Safiq pecah.
Laporan polis telah dibuat oleh Safiq di Balai Polis Larkin sekitar jam 11 malam.
JDT telah meningkatkan keselamatan pemain
Dalam kenyataan di Facebook, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menyatakan bahawa mereka telah meningkatkan keselamatan pemain selepas insiden yang menimpa Safiq Rahim di Pusat Latihan JDT malam tadi.
“Insiden ini, bersama dengan serangan ke atas Akhyar Rashid dan Faisal Halim baru-baru ini, tidak mempunyai tempat dalam dunia bola sepak. Oleh itu, JDT telah meningkatkan lagi keselamatan para pemain sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kami juga telah menasihatkan para pemain untuk berhati-hati dengan persekitaran dan hantaran media sosial mereka pada setiap masa,” tulis mereka di Facebook.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, dan pihak polis sedang mencari suspek yang terlibat.