Dua musim berturut Arsenal gagal muncul Juara, Batal Perarakan Trofi EPL, Penyokong mula mengenang kembali sejarah terakhir 2004
Sumber : Vocket
Hasrat Arsenal untuk menjadi juara Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak kesampaian walaupun berjaya menewaskan Everton 2-1 pada aksi terakhir di Stadium Emirates.
Manchester City telah mengesahkan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas West Ham United sekaligus mengutip 91 mata, meninggalkan Arsenal.
Skuad kendalian Mikel Arteta menamatkan musim ini di tangga kedua dengan 87 mata, empat mata di belakang City.
Oleh sebab itu, The Gunners terpaksa membatalkan rancangan mereka untuk mengadakan perarakan trofi EPL seperti yang dilaporkan oleh media UK minggu lalu.
Menurut laporan The Standard UK, Arsenal sebelum ini telah menetapkan tarikh perarakan tersebut pada hari Isnin, 20 Mei, sehari selepas aksi terakhir liga bertemu Everton.
Arsenal mengalami kekecewaan dua tahun berturut-turut apabila masih gagal untuk menjadi juara liga sejak tahun 2004.
Ketika menentang Everton, Arteta menurunkan kesebelasan terbaik dengan Kai Havertz, Martin Odegaard, Leandro Trossard, dan Gabriel Martinelli berada di barisan serangan manakala Bukayo Saka direhatkan ekoran kecederaan.
Everton membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma oleh Idrissa Gueye pada minit ke-40.
Tersentak dengan gol tersebut, Arsenal kembali mengatur serangan dan berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Takehiro Tomiyasu tiga minit kemudian.
Serangan bertali arus oleh Arsenal akhirnya membuahkan hasil apabila Havertz menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89 selepas menerima hantaran Odegaard.
Namun, kemenangan itu masih belum cukup untuk mengatasi kedudukan Man City yang mencatat keputusan 3-1 ke atas West Ham United, dengan perbezaan dua mata.