| |

[Video] Demi Elak Kasut Basah Terkena Air Bertakung, ‘Pak Guard’ Sanggup Angkat Setiap Murid

Sumber :  Tiktok | @tahilalat83

Difahamkan pengawal keselamatan di sekolah itu berulang-alik mendukung setiap seorang pelajar ke kereta ibu bapa bagi mengelakkan daripada mereka perlu meredah air bertakung.

Setiap sekolah pasti ada pengawal keselamatan yang menjaga keselamatan premis berkenaan. Mereka jugalah orang pertama yang akan berada di luar pagar sekolah sambil memantau keadaan ketika ibu bapa menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah.

Kadangkala pengawal keselamatan atau ‘pak guard’ ini juga yang akan menemani pelajar-pelajar yang balik lambat sekiranya dijemput lewat oleh ibu bapa.

Pengawal Keselamatan Sekolah Angkat Murid Redah Takungan Air

Satu video yang dimuat naik di laman TikTok (@tahilalat83) menunjukkan situasi di hadapan sebuah sekolah yang telah ditakungi air berwarna keruh akibat hujan. Situasi ini menyebabkan ramai murid terkandas dan tidak boleh keluar dari pagar kerana dikhuatiri kasut mereka akan basah.

Namun, tindakan terpuji pengawal keselamatan yang memakai pakaian hujan dan selipar di sekolah berkenaan telah mendapat perhatian apabila dia dilihat sanggup mendukung murid sambil memayungkan mereka. Difahamkan pekerja itu berulang-alik mendukung atau mengangkat setiap pelajar ke kereta ibu bapa mereka.

Dalam keadaan hujan semasa menjalankan tugas, pengawal keselamatan berkenaan dilihat sempat mengukir senyuman meskipun terpaksa berdepan cuaca buruk.

“Bila kau ikhlas dengan tugas dan bekerja demi mencari rezeki kerana Allah SWT. Jelas terpancar pada senyuman,” tulis seorang pengguna TikTok di ruangan kapsyen.

Video tersebut telah meraih 42,100 jumlah tontonan setakat artikel ini ditulis.

Netizen Puji Kebaikan Pengawal Keselamatan Dengan Murid Sekolah

Menjengah di ruangan komen video itu, ramai netizen yang berterima kasih atas kebaikan yang dilakukan oleh pengawal keselamatan tersebut kerana membantu pergerakan murid-murid semasa cuaca hujan. Malah, ada juga netizen yang berkongsi pengalaman sama semasa mahu mengambil anak-anak mereka di sekolah.

“Macam sekolah saya, Aunty India jadi guard bagus sangat. Kalau hujan, dia payungkan anak-anak dekat lampu isyarat masa nak lintas. Macam saya pula OKU, dia nampak saya je, terus dia pergi cari anak dekat dalam, siap pegang tangan. Risau dia,” kata seorang netizen.

Netizen juga berharap kebaikan yang dilakukan itu dijadikan contoh kepada pengawal keselamatan lain di sekolah.

“Abang guard macam ni yang kami perlukan, bukan yang duduk terpacak peluk tubuh saja bila pelajar keluar,” ujar seorang lagi netizen.

Kalau pak guard ini sudah tidak berkhidmat di sana lagi, mesti ramai pelajar yang akan merinduinya dan akan sentiasa mengingati jasa-jasa semasa bertugas di sekolah tersebut. Bukan setakat murid sahaja, ibu bapa mereka juga pastinya akan menghargai kebaikan yang dilakukan oleh pengawal keselamatan ini bagi menjaga kebajikan murid-murid.

Video :

https://www.tiktok.com/@tahilalat83/video/7369945612877384976

Similar Posts