Nafi Culas Nafkah Anak, Hafidz Roshdi Tunjuk Bukti Transaksi Bank – ‘Pelaku Harus Malu Dengan Penipuan’
Sumber : Oh Bulan
Setelah sekian lama berdiam diri, pelakon Hafidz Roshdi akhirnya tampil menjawab dakwaan bahawa dia mengabaikan nafkah anak-anaknya.
Menerusi perkongsian di Instagram Story (IG Story), Hafidz, atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 30, menegaskan bahawa tuduhan tersebut adalah fitnah semata-mata.
Hafidz turut menjelaskan bahawa dia tidak pernah lupa akan tanggungjawabnya terhadap anak-anak.
“Saya selama ini memilih untuk berdiam diri tapi bila perkara ini sudah menganggu kerja saya, saya pilih untuk mempertahankan hak saya demi menjaga nafkah anak-anak saya. Kenyataan mengatakan saya culas dan tidak membayar nafkah wajib ke atas anak-anak saya adalah fitnah yang menjijikkan dan pelaku harus malu dengan penipuan,” katanya.
Bagi mempertahankan dirinya daripada terus difitnah, Hafidz berkongsi beberapa transaksi bank sebagai bukti bahawa dia telah membayar nafkah untuk kedua-dua anaknya, Humairah dan Umar.
“Saya mempunyai keseluruhan bukti transaksi untuk bayaran nafkah anak yang sedia untuk digunakan dalam tindakan susulan. Saya dengan jelas ingin menyatakan saya sudah, masih membayar nafkah dan akan terus berusaha menambah nafkah wajib anak-anak tanpa culas dan elak dari tertunggak,” tambahnya.
Sebelum ini, bekas isteri Hafidz, Shuhada Shukri, mendedahkan tangkap layar perbualan berbaur lucah yang didakwa antara aktor itu dengan seorang wanita.
Untuk rekod, Hafidz pernah mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016, namun mereka disahkan bercerai pada 27 Julai lalu. Hafidz kemudian berkahwin pula dengan Athira Yuhada pada Disember 2023.
Hasil perkahwinan dengan Shuhada, pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 3 tahun.