“Mungkin Belum Rezeki Kita Nak Pergi Umrah Bulan Puasa Ni” – Shuib Terpaksa Tangguh Hasrat Umrah
Sumber : IG | shuib
Pelawak popular Shuib baru-baru ini mengejutkan ramai apabila mengumumkan bahawa dia dan rakan baiknya, Mamat, terpaksa menangguhkan impian mereka untuk menunaikan ibadah umrah pada bulan Ramadan. Menurut Shuib, keputusan itu terpaksa diambil selepas mereka mendapati syarikat agensi umrah yang dipilih tidak telus dalam pengurusan jemaah yang ingin ke Tanah Suci.
Dalam satu video yang dimuat naik di Instagram, Shuib dilihat sedang memujuk Mamat supaya tidak berasa terlalu kecewa dengan keputusan tersebut. “Mungkin belum rezeki kita, Mat, nak pergi umrah bulan puasa ni. Pada awalnya semua nampak okay, tetapi apabila timbul macam-macam masalah, kami mengambil keputusan untuk tarik diri,” jelas Shuib.
Shuib juga menegaskan bahawa dia tidak mahu wajah mereka digunakan sewenang-wenangnya untuk tujuan promosi pakej umrah. Meskipun kecewa, Shuib tetap optimis dan percaya bahawa impian mereka untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bersama-sama akan tercapai suatu hari nanti.
“Harap pihak yang berkaitan tidak menggunakan lagi wajah kami untuk sebarang promosi. Insya-Allah, ada rezeki lain, Mat. Kita doa supaya ada agensi yang lebih sesuai dan boleh bawa kita pergi umrah,” katanya penuh harapan.
Sebelum ini, Mamat turut meluahkan rasa syukur apabila Shuib menghadiahkan pakej umrah sebagai tanda penghargaan buat dirinya.