JDT Raih Kejuaraan Liga Super Ke-11 Berturut-Turut, ‘Triple Quadruple’ Dalam Genggaman
Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengganas dalam saingan bola sepak tempatan apabila mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut selepas menundukkan Perak FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim.
Dominasi JDT Tak Terbendung
Skuad kendalian Hector Bidoglio kini mengumpul 58 mata selepas 20 perlawanan, sekaligus meninggalkan pencabar terdekat, Selangor FC, yang sekadar mengutip 42 mata dengan baki lima perlawanan. Ini bermakna, Harimau Selatan sudah tidak boleh dipintas lagi dalam perlumbaan kejuaraan liga musim ini.
Kejayaan ini juga menandakan bahawa JDT semakin hampir untuk mencipta sejarah ‘Triple Quadruple’ dengan menjuarai Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super, dan kini mengintai Piala Malaysia untuk tiga musim berturut-turut.
JDT Terus Garang, Perak FC Terkulai
Harimau Selatan terus menampilkan permainan agresif sejak awal perlawanan, dengan beberapa percubaan berbahaya termasuk tandukan Corbin Ong pada minit ke-8 dan rembatan leret Arif Aiman seminit selepas itu yang berjaya diselamatkan penjaga gol Perak, Haziq Nadzli.
Meskipun mendominasi perlawanan, JDT hanya berjaya memecah kebuntuan pada penghujung babak pertama menerusi Jese Rodriguez yang menyempurnakan hantaran cantik daripada Arif Aiman Hanapi.
Bersambung separuh masa kedua, JDT terus menggandakan serangan dan akhirnya memperoleh sepakan penalti pada minit ke-63 selepas bola terkena tangan pemain Perak FC, Ariff Ar-Rasyid Arifin. Jorge Obregon tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk memastikan kemenangan selesa 2-0 buat Harimau Selatan.
‘Misi Sapu Bersih’ JDT?
Dengan kejuaraan Liga Super sudah dalam genggaman, fokus JDT kini tertumpu kepada Piala Malaysia bagi melengkapkan ‘Triple Quadruple’. Mampukah mereka menutup musim 2024/2025 dengan sapu bersih semua trofi utama?
Sumber : Harian Metro