· · · ·

Mahkamah Bebaskan The 1975 Dari Dakwaan, Kontroversi Matt Healy Bercumbu Di Pentas Tidak Langgar Undang-Undang

Kumpulan muzik British, The 1975, yang sebelum ini terpalit dengan kontroversi ketika Good Vibes Festival 2023 di Sepang, akhirnya dilepaskan daripada sebarang tuntutan mahkamah. Isu ini bermula apabila vokalis mereka, Matt Healy, mencetuskan kekecohan dengan bercumbu bersama pemain bass, Ross MacDonald, secara terbuka di atas pentas.

Mahkamah London memutuskan bahawa The 1975 tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kerugian yang dialami penganjur festival, Future Sound Asia (FSA). Hakim William Hansen menegaskan bahawa walaupun tindakan mereka mencetuskan kontroversi, ia tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang kukuh bagi meneruskan kes saman.

Lebih mengejutkan, mahkamah turut mengarahkan FSA membayar kos guaman sebanyak RM557,224 setelah gugatan mereka terhadap kumpulan itu ditolak. Sebelum ini, FSA menuntut ganti rugi RM10.5 juta atas alasan kumpulan berkenaan telah melanggar kontrak dengan tindakan mereka di pentas.

Peguam The 1975, Edmund Cullen, menegaskan bahawa saman sepatutnya difailkan terhadap syarikat pengurusan kumpulan itu, bukan kepada anggota band secara individu. Beliau menyifatkan tindakan FSA sebagai percubaan tidak sah untuk menyabitkan The 1975 dalam isu yang sepatutnya ditangani di peringkat syarikat.

Menariknya, peguam FSA, Andrew Burns, mendedahkan bahawa pihak berkuasa Malaysia sebenarnya telah mempertimbangkan untuk menghalang kumpulan tersebut daripada membuat persembahan kerana kebimbangan terhadap keadaan Matt Healy yang masih dalam proses pemulihan daripada ketagihan dadah. Namun, mereka akhirnya diberikan lampu hijau selepas berjanji untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Insiden bercumbuan di atas pentas itu menerima reaksi keras daripada masyarakat Malaysia, termasuk komuniti LGBTQ+ yang mengkritik tindakan Healy dan MacDonald kerana didakwa membahayakan perjuangan mereka di negara ini.


Sumber :
SAYS