· · · · · ·

Seminggu BerpuasanPenjaja Termenung Tunggu Pelanggan, Jualan Ramadan Lesu Tahun Ini – Peniaga

Peniaga di Bazar Aidilfitri Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) meluahkan rasa bimbang apabila jualan mereka dilaporkan merosot ketara sejak awal Ramadan. Menurut peniaga pakaian wanita, Noor Soleha Mohd Radzir, 34, keadaan ini jauh berbeza berbanding tahun sebelumnya apabila bazar biasanya sudah dipenuhi pelanggan walaupun baru seminggu berpuasa.

“Sejak mula berniaga pada 3 Mac lalu, jumlah pengunjung memang sangat kurang berbanding tahun sebelum ini. Kini purata pelanggan hanya seorang hingga dua orang sehari dengan jualan sekitar RM100. Saya berharap hari ini jualan akan meningkat berbanding sebelum ini,” katanya.

Noor Soleha mengakui dia mungkin sukar mencapai keuntungan seperti sebelumnya tetapi tetap optimis keadaan akan berubah dalam dua minggu terakhir Ramadan. Selain berniaga di bazar, dia turut beralih ke platform dalam talian sebagai alternatif untuk menambah pendapatan.

Peniaga songkok, Rustam Munab, 63, yang sudah berniaga sejak 90-an turut berdepan situasi serupa. Menurutnya, bazar yang biasanya beroperasi sehingga tengah malam kini mula ditutup seawal jam 10 malam kerana kekurangan pengunjung.

“Ada sahaja pengunjung yang datang tetapi kebanyakannya sekadar cuci mata dan meninjau harga,” katanya sambil menyifatkan faktor penurunan jualan turut dipengaruhi susunan baharu gerai yang disusun belakang ke belakang.

Sementara itu, peniaga kuih raya, Fatin Farhana Ahmad Jamili, 31, turut berkongsi pengalaman serupa. Katanya, pernah berlaku hanya RM15 sahaja diperoleh dalam sehari sejak awal Ramadan. Walaupun jualan kelmarin menunjukkan sedikit peningkatan, ia masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

“Saya rasa sekarang ramai yang lebih selesa beli secara dalam talian dan ingin berjimat selepas mengeluarkan belanja untuk sesi persekolahan,” katanya dengan harapan jualan akan melonjak pada minggu akhir Ramadan.

Sumber: HarianMetro