· · · · · ·

Shuk Sahar Dedah Sudah 2 minggu Disekat Isteri Ketika Sarat Mengandung, Enggan Keruhkan Keadaan

Pelawak Shuk Sahar baru-baru ini mendedahkan bahawa dirinya telah disekat di semua platform oleh isterinya, Fara Salleh, sejak dua minggu lalu. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak dapat berkomunikasi, termasuk ketika Shuk cuba menghubungi Fara di hospital.

Shuk, atau nama sebenarnya Muhammad Shukri Mohamed Sahar, enggan mengulas lanjut berhubung isu penceraian mereka dan hanya menunggu tarikh sebutan kes. Dia memilih untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan memandangkan isterinya kini sedang sarat mengandung.

“Tiada apa-apa komen fasal cerai, saya serahkan semua pada Fara sebab sekarang dia sedang mengandung. Saya hormat perkara itu, jadi biarlah saya mencari rezeki di Singapura,” kata Shuk ketika ditemui pada karnival beli-belah Celebfest Ramadan di Suntec, Singapura.

Menurut Shuk, kali terakhir mereka berhubung adalah dua minggu lalu sebelum masuk bulan Ramadan. Sejak itu, semua usaha untuk menghubungi Fara gagal kerana nombor telefonnya telah disekat.

Meskipun dihimpit kontroversi, Shuk menegaskan dia kini hanya mahu fokus pada perniagaan yang sedang berjalan di Singapura dan menyerahkan segala urusan rumah tangga kepada Allah.

“Saya tetap dengan pendirian tidak mahu berkongsi perihal rumah tangga. Sebab saya di Singapura memang niat nak bekerja dan serahkan segalanya kepada Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Shuk menafikan dakwaan bahawa dia pernah mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan isterinya sebagai beban dan mengutamakan rakan-rakannya.

“Saya bersumpah di bulan Ramadan ini yang saya tak pernah keluarkan kenyataan isteri beban, rakan-rakan punca rezeki. Malah saya tak tahu perkara itu keluar daripada mulut siapa,” jelasnya.

Untuk rekod, Shuk dan Fara mendirikan rumah tangga pada November 2023. Hasil perkahwinan mereka, pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 9, dan Nur Assyifatu Aimi, 6.

Sumber: Shuk Sahar