· · · · · ·

Ibu Along Cham Dah Lama Tak Bertegursapa Dengan Along Sejak Setahun Lalu angkara Afreena

Pelawak dan pelakon, Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, didedahkan oleh ibunya, Siti Habsah Kadir, bahawa mereka tidak lagi bertegur sapa sejak hampir setahun yang lalu. Menurut Habsah, hubungan dingin itu berpunca daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh isteri Along, Afreena Suhaimi, yang disifatkan mengundang salah faham besar dalam keluarga mereka. Habsah menegaskan bahawa dia tidak pernah memilih siapa yang sepatutnya menjadi menantu, sebaliknya menerima sesiapa sahaja yang menjadi pilihan anaknya. Namun, dia kecewa apabila kenyataan yang dikeluarkan Afreena menimbulkan salah faham sehingga Along mula menjauhi keluarganya sendiri.

“Apa yang dia (Feena) beritahu kepada media tentang keluarga Along, hanya dia sahaja yang tahu. Tapi dia buat kesilapan terhadap keluarga saya, hingga Along benci keluarga sendiri,” jelas Habsah ketika ditemui di Mahkamah Syariah Sepang pada Isnin. Tambah Habsah, meskipun hatinya terkilan, dia tidak pernah berniat untuk melihat rumah tangga anaknya runtuh. Menurutnya, dia tidak pernah campur tangan dalam urusan rumah tangga Along dan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada anaknya sendiri.

“Selepas Along kahwin saya tidak masuk campur, pandai-pandailah Along melentur rumah tangganya sendiri. Sebenarnya sedih tengok anak jadi begini, bukan saya minta, bukan saya suka, saya tak suka… saya sedih sangat-sangat,” tambah Habsah lagi. Dalam pada itu, Along turut berkongsi rasa kecewanya apabila ibunya turut menerima tempias kontroversi rumah tangganya. Along mendakwa terdapat pihak yang memfitnah ibunya sehingga menjejaskan imejnya di mata jiran tetangga. Menurutnya, kontroversi ini turut menyebabkan dia tidak dapat menyambut Hari Raya bersama ibunya tahun lalu. “Saya ada isteri tapi saya terlepas salam raya dengan ibu, tidak dapat berpeluk dengannya sedangkan reda Allah terletak pada reda ibu. Saya bersyukur sebelum salah seorang pejam mata, kami kembali bersama,” kata Along dengan penuh kesyukuran. 

Untuk rekod, pengesahan lafaz cerai taklik antara Along dan Afreena ditangguhkan kepada 8 Mei depan selepas mahkamah mendapati berlakunya kekeliruan dokumentasi yang dibuat Along sebagai plaintif. Kemelut rumah tangga mereka timbul apabila Along mendakwa Afreena melanggar tiga perkara yang dipersetujui dalam perkahwinan mereka, menyebabkan jatuhnya lafaz taklik. Dakwa Along, Afreena melanggar lafaz taklik tersebut pada tahun lalu dan sepatutnya memfailkan lafaz cerai taklik itu pada 16 Disember, namun gagal kerana dirinya ditahan pihak polis pada 14 Disember atas kes memiliki dadah.

Along mendirikan rumah tangga dengan Afreena pada 4 April 2024. Sebelum ini, Along pernah berkahwin dengan bekas peserta Akademi Fantasia, Zila Seeron, pada Januari 2010 namun bercerai pada Ogos 2016. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel yang kini berusia 14 tahun.

Sumber: Along Cham