· · · · · ·

Nora Danish Tak Pernah Fobia Dengan Perkahwinan Doa Di Makkah, Mohon Jodoh Yang Baik

Pelakon Nora Danish mengakui bahawa dia masih menaruh harapan untuk berkahwin lagi walaupun telah dua kali mengalami kegagalan dalam rumah tangga.

Dalam satu temu bual, Nora atau nama lengkapnya Nora Danish Mohd. Haniff, 43, menegaskan bahawa dia tidak pernah serik atau fobia dengan perkahwinan dan sentiasa terbuka untuk bertemu jodoh yang baik.

“Siapa sahaja yang tak mahu berkahwin, kan? Memang saya nak sangat. Saya tak pernah putus harapan atau fobia dengan perkahwinan sebelum ini. Semasa menunaikan umrah Februari lalu, saya berdoa supaya ditemukan dengan insan baik. Tapi apa pun biar saya perbaiki diri dahulu sebelum bertemu jodoh yang sesuai,” katanya.

Nora yang kini masih belum mempunyai calon pasangan berkata, dia mahu lebih berhati-hati memilih pasangan hidup dan pada masa yang sama ingin memperbaiki dirinya ke arah kebaikan.

“Kita tak sempurna, tapi apabila sudah faham agama, tentu kita mahu seseorang yang baik mampu membimbing ke arah kebaikan. Tapi sampai sekarang, belum ada calon lagi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nora turut berkongsi bahawa dirinya sering menjadi bahan usikan rakan-rakan setiap kali menghadiri kelas agama.

“Bila kita single, pergi kelas agama memang ada yang suka mengusik. Kalau ada ustaz bujang, mesti ada yang cuba ‘kenen-kenenkan’. Tapi saya tak terasa pun. Mungkin sebab dah biasa dengan gurauan orang. Kalau perkara baik, saya terima dengan hati terbuka,” katanya lagi.

Imbas kembali, Nora mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Nedim Mohamad Nazri, namun bercerai pada Jun tahun lalu selepas tujuh tahun hidup bersama. Pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl, 7 tahun.

Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan bercerai pada 2008. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal, 16 tahun.


Sumber: NoraDanish