Ananda Natasha ceburi bidang nyanyian tampil single ‘Ada Untuk Diriku’ karya Pija Minaz
Pempengaruh media sosial, Ananda Natasha kini melangkah ke dunia nyanyian dengan lagu baharu berjudul Ada Untuk Diriku, hasil karya pengasas jenama MINAZ, Pija Minaz. Lagu ini bukan sekadar melodi biasa, sebaliknya membawa mesej mendalam tentang kekuatan diri, penemuan jati diri, dan keberanian untuk merangkul identiti sebenar.
Menurut Pija Minaz, lagu tersebut adalah luahan jiwanya yang diterjemahkan melalui suara Ananda Natasha. Walaupun Pija Minaz bukan penyanyi profesional, Ananda Natasha berjaya menghidupkan lagu itu sebagai sebuah karya yang penuh emosi dan inspirasi.
Dalam satu majlis pelancaran lagu dan pembukaan Soft Launch Pop Up Store MINAZ di Bangi Central pada Ahad lalu, Ananda Natasha turut berkongsi tentang kehidupan peribadinya. Menurutnya, dia berharap agar bekas ibu mentuanya berhenti mengganggunya dengan tuduhan tidak berasas kerana dia sendiri sudah melupakan kisah lama.
“Saya sangat sayang bekas mak mentua saya. Dia banyak membantu saya semasa perkahwinan kami. Tapi saya tak faham kenapa sekarang ni, bila saya dah lupakan kisah lalu, dia masih menghantar mesej setiap bulan menyalahkan saya atas apa yang terjadi kepada bekas suami saya, Andika Putera.
“Saya hanya mahu hidup tenang bersama anak saya, Alisha Puteri. Setiap kali mesej mengungkit dihantar, trauma saya datang balik. Saya baru nak kuatkan diri saya tapi bila setiap bulan dapat mesej yang sama, saya rasa macam boleh tak kita aman saja? Saya pun nak rasa aman dengan diri saya,” katanya.
Tasha turut menjelaskan bahawa walaupun hubungannya dengan Andika Putera baik-baik sahaja, bekas ibu mentuanya masih menyalahkan dirinya atas kejatuhan hidup bekas suaminya itu. Bagaimanapun, Tasha berkata dia tidak pernah menghalang Andika daripada bertemu dengan anak mereka dan kedua-duanya telah mencapai persetujuan mengenai hak penjagaan bersama.
“Saya okay saja dengan Andika, takde masalah. Hubungan kami cuma mengenai anak saja dan kami tak rapat sekarang. Saya tak halang apa-apa hak dia sebagai bapa sebab kami pun dah berbincang untuk sama-sama jaga. Alhamdulillah, dia pun jaga anak kami dengan baik,” jelasnya.
Dalam pada itu, Tasha sempat menitipkan pesan kepada wanita yang mengalami situasi sepertinya untuk terus tabah dan yakin bahawa rezeki pasti ada di luar sana.
“Untuk wanita-wanita di luar sana yang sama situasi macam saya, saya yakin permulaan memang sangat susah. Kita rasa macam-macam termasuk takde orang sayang kita tapi sebenarnya di luar sana, banyak yang kita tak nampak. Rezeki di luar luas sangat, semua orang ada dengan kita dan jalani saja takdir macam mana,” katanya.
Sumber: Ananda Natasya