| | | | | |

Azam tahun baharu jadikan diri lebih baik

Sumber: Harian Metro

Sudah menjadi kelaziman dan berakar budaya dalam kalangan masyarakat seantero dunia termasuk juga generasi muda umat Islam menjadi malam menjelangnya tahun Masehi suatu malam yang amat dinanti-nantikan. Dengan wajah penuh keceriaan dan hati berbunga ria menunggu detik 12 tengah malam 31 Disember dengan suatu keraian yang berselitkan aneka hiburan sebagai petanda rasa seronoknya jiwa menyambut hadirnya tahun yang baru.

Begitu dunia masa kini yang menjadikan perayaan menyambut tahun baru Masehi suatu yang wajib diraikan dengan sambutan berbentuk gerak laku berbentuk hiburan. Amat malang sekali kerana generasi muda kita juga menganggap sambutan yang berselitkan hiburan satu-satu acara wajib ada kerana ia melambangkan manusia moden masa kini dan seolah-olah masing-masing tidak mahu menguzurkan diri daripada menyertai sama.

Budaya sambut tahun baru dalam kerangka perbuatan yang berunsurkan hedonisme atau yang bersandarkan kepada rasa keseronokan samata-mata perlu dihindari sejauhnya oleh generasi muda umat Islam kerana ia sedikitpun tidak mengundang keberhasilan manfaat. Hiburan dengan rupa bentuk nyanyian dan sebagainya itu ibarat junkfood yang sekadar memberi rasa kenyang b

uat sementara. Ia tidak akan kekal lama sebaliknya akan terus meninggalkan rasa ketagih yang mendalam.

Apa makna sebenarnya datangnya tahun baru, tidak kira sama ada ia tahun Hijrah mahupun tahun Masehi kepada kita? Sudah tentu, hadirnya sesuatu tahun baru petanda bahawa kita semakin hampir kepada kematian iaitu saat berakhir riwayat hidup seseorang. Ia juga bermakna sudah 365 hari atau 8760 jam atau 525,600 minit masa kehidupan sudah berlalu yang tidak mungkin sama sekali dapat diulangkan kembali.

Justeru, tidakkah kita terfikir untuk bermuhasabah diri merenungkan hakikat diri, apa yang sudah dilakukan sepanjang tempoh setahun yang lalu itu. Atau kita masih dibelenggu rasa tidak rugi apa-apa dengan masa terbabit. Kalau kita seorang pemimpin, tidakkah kita terpanggil untuk membuka ruang fikir melakukan check-list terhadap segala amanah dan tanggungjawab yang dilakukan sepanjang tahun. Adakah segala keperluan orang di bawah pimpinan kita sudah ditunaikan dengan sebaik mungkin. Adakah kita sudah mengusahakan daya upaya yang termampu untuk menampilkan perwatakan sahsiah selaku seorang pemimpin yang berwibawa lagi disegani? Apakah segala janji yang dibuat sudah dikotakan dengan sebaiknya?

Seharusnya ini yang perlu direnung-renungkan menjelang munculnya tahun baru. Demikian juga seandainya kita selaku seorang ibu bapa. Periksa semak terhadap tanggungjawab sebagai ibu dan bapa wajib sentiasa diteliti supaya segala kekurangan dan kealpaan sepanjang tahun ini dapat dikenal pasti bagi membuat penambahbaikkan. Dengan melakukan muhasabah diri menjelang hadirnya tahun baru ini akan menjadi ‘penyedar’ kepada segala kesilapan lalu dan sebagai ‘pencetus’ untuk membaiki reputasi diri. 

Selain itu, ada baiknya semasa berada pada saat ambang menjelangnya tahun baru ini, kita menjadi semakin dekat dengan Tuhan untuk memohon supaya dipermudahkan segala azam dan kerangka kerja pada tahun yang bakal menjelang nanti. Berdoa dengan iringan air mata tanda merendah diri ke hadrat Ilahi sambil memohon restu dan berkat supaya masa dan gaya kehidupan pada tahun hadapan menjadi lebih bermakna dan menepati kehendak agama. Hanya kaedah berdoa mewujudkan jiwa yang tenang, sekali gus akan menjana sikap optimis menempuh ruang waktu sepanjang tahun mendatang. Ini kerana insan Mukmin yang selalu mengamalkan doa sebagai mekanisme pengharapannya terhadap Tuhan akan memercikkan suatu aura positif yang enggan mengalah dengan apa sahaja rintangan dalam kehidupan di dunia kerana pada insan sebegini, mereka amat berkeyakinan tinggi dengan bantuan Tuhan.

Pihak pengurusan masjid dan surau sepatutnya merebut peluang dan ruang ketika malam terakhir sesuatu tahun dengan merangka dan melaksanakan program yang mampu mengajak kariah kampung sekitar untuk hadir ke masjid. Mungkin sesuai diadakan solat hajat memohon keberkatan Allah dan memohon supaya dihindari sebarang musibah. Meriahkan suasana masjid dengan aneka program yang bermanfaat dan ‘hidup’ supaya mengajak setiap kariah kampung untuk menghidup malam terbabit dengan pengisian berlandaskan roh agama yang murni. Jangan disunyikan ruang masjid, sebaliknya lantunkan suara mengumandangkan alunan irama selawat supaya dapat menjadi penarik kepada seluruh warga kariah untuk tampil bersama-sama menjayakannya.

Seperkara lagi yang sangat perlu kita bersama renungkan secara mendalam nenjelang hadirnya tahun baru ini ialah berkenaan pesanan Rasulullah SAW yang berpesan dari hal lima waktu yang sangat berharga yang sewajibnya kita maksimumkan penggunaannya. Apa yang Baginda pesankan itu? Ya, Baginda memberikan peringatan dengan sabdanya: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda kamu sebelum datangnya masa tua, masa sihat sebelum datangnya masa sakit, masa kaya sebelum datangnya masa miskin, masa lapang sebelum hadirnya masa sibuk dan masa hidup sebelum datangnya masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi) 

Kita mungkin sudah banyak menggantungkan di dinding dalam rumah, khat tulisan ayat surah al-Quran tertentu. Surah al-Fatihah, ayat Tiga Surah Qul pun kita gantungkan di dinding rumah kita. Malah, tidak lengkap seandainya ayat Surah Yasin tidak gantungkan sama. Begitu cintanya kita kepada ayat-al-Quran sebagai pemberi peringatan buat kita sekluarga. Justeru, apa salahnya (sememangnya tidak ada salah sedikitpun) kita jadikan amalan melekatkan petikan hadis Baginda SAW dalam rumah kita. Ini secara tidak langsung boleh menjadi pedoman dalam kepada gaya kehidupan kita sekeluarga.

Bayangkan setiap hari mata dan jiwa kita dapat membaca dan menghayati pesanan Baginda mengenai penggunaan masa sebagaimana tercatat dalam hadis sebentar tadi. Hal sebegini pasti membuahkan natijah cukup positif dalam membangkitkan semangat untuk menjadi seorang mukmin yang unggul dengan persembahan gaya hidup yang sentiasa dilingkungi keinsafan tinggi supaya tidak mensia-siakan sedikit masapun dengan perkara ‘lagha’ yang merugikan.

Semoga kedatangan tahun baru 2024 bakal menjadikan kita seorang insan yang semakin baik dalam pelbagai segi kehidupan berbanding tahun-tahun lalu. Setiap azam yang disemat dalam hati, kita susuli dengan kekuatan semangat untuk menjayakannya.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

.

Nota: Artikel ini adalah ringkasan maklumat dari Harian Metro Untuk butiran penuh, sila rujuk kepada sumber asal

Video :

Similar Posts