Messi Dinobat Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2023
Sumber: Siakap Keli
Messi Dinobat Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2023
Lionel Messi telah diiktiraf sebagai pemain lelaki terbaik FIFA bagi tahun 2023, manakala Aitana Bonmati turut menerima anugerah yang sama dalam kategori wanita dalam sebuah majlis anugerah di London.
Dilansir oleh AFP, ini merupakan ketiga kalinya Messi menerima anugerah tersebut, dan kali ini ada sedikit kontroversi kerana dia mengalahkan Erling Haaland dari Manchester City.
Anugerah kali ini hanya merangkumi tempoh selepas Messi membawa Argentina memenangi Piala Dunia dari Disember 2022 hingga Ogos 2023.
Sementara itu, Haaland menjadi pilihan untuk menang anugerah itu selepas menjaringkan 52 gol pada musim sulungnya bersama City ketika pasukan Inggeris tersebut memenangi treble Liga Juara-Juara, Liga Perdana dan Piala FA.
Sepanjang tempoh tersebut, pemegang lapan kali Ballon d’Or tersebut menamatkan kerjayanya di Paris Saint-Germain dengan prestasi yang agak kurang memuaskan, walaupun berjaya menjuarai Ligue 1 sebelum menyertai kelab Major League Soccer, Inter Miami pada bulan Jun.
Meskipun begitu, Messi dengan cepat menyesuaikan diri dan mencapai kejayaan dengan membantu Inter Miami memenangi Piala Liga pada bulan Ogos. Selepas mendapat jumlah mata yang sama dalam undian dari kapten pasukan kebangsaan, jurulatih, wartawan, dan peminat, Messi diumumkan sebagai pemenang.
Kylian Mbappe, bekas rakan sepasukan Messi di PSG, menduduki tempat ketiga. Namun, ketiga-tiga finalis lelaki tersebut tidak hadir dalam majlis tersebut, dan Thierry Henry, legenda Arsenal dan Perancis, menerima anugerah tersebut atas nama Messi.
Manakala, pemilihan Bonmati sebagai pemain wanita terbaik tidak diragui, kerana beliau membersihkan segala anugerah individu selepas membantu Sepanyol memenangi Piala Dunia dan Barcelona meraih kejuaraan Liga Juara-Juara pada 2023.
Pemain berusia 25 tahun itu juga memenangi Ballon d’Or, Bola Emas untuk Piala Dunia, dan pemain terbaik UEFA beberapa bulan yang lalu.
Pep Guardiola dinamakan jurulatih terbaik selepas membawa City meraih kejayaan Liga Juara-Juara pertama mereka. Menurut Guardiola, kemenangan ini adalah hasil daripada usaha besar dan kerjasama beribu-ribu individu yang terlibat.
“Saya sangat gembira untuk musim yang kami lalui kerana ia adalah satu perjalanan yang luar biasa. Akhirnya kami dapat melakukannya, tetapi keseronokan berada di sana adalah luar biasa,” tambahnya lagi.
Haaland bersama lima rakan sepasukan City termasuklah Kyle Walker, John Stones, Ruben Dias, Bernardo Silva, dan Kevin De Bruyne, membentuk pasukan pilihan terbaik.
Ederson dari Manchester City meraih anugerah penjaga gol terbaik, sementara Mary Earps mewakili England dan Manchester United memenangi kategori wanita.
Sarina Wiegman, pengendali skuad wanita kebangsaan England, dinobatkan sebagai jurulatih wanita terbaik selepas membawa The Lionesses ke final Piala Dunia.
Tujuh wanita England termasuk Earps, Lucy Bronze, Alex Greenwood, Keira Walsh, Alessia Russo, Lauren James, dan Ella Toone dimasukkan dalam pasukan tahun ini.
Pasukan lelaki Brazil memenangi anugerah fair play selepas mengenakan jersi serba hitam sebagai sokongan kepada Vinicius, yang sering menjadi mangsa perkauman semasa bermain untuk Madrid tahun lalu.
Selain itu, pemain Brazil, Guilherme Madruga, mencatat kejayaan dalam anugerah Puskas untuk gol terbaik menerusi sepakan overhead yang memukau