| |

Kenapa Air Kencing Warna Merah Ni? Boleh Jadi Anda Alami Kencing Berdarah, Semak Gejalanya!

Sumber: Sirap Limau

Melihat air kencing yang tiba-tiba berwarna merah memang buat kita risau dan takut. Kemungkinan besar, ini petanda kencing berdarah. Jom, semak gejalanya!

Melalui maklumat dari Doctor On Call Health Centre, kencing berdarah bermaksud air kencing berwarna merah, dan ia boleh jadi sesuatu yang ringan atau petanda penyakit yang lebih serius.

Dalam istilah perubatan, darah yang boleh dilihat secara kasar disebut sebagai “gross hematuria,” manakala darah dalam air kencing yang hanya dapat dilihat melalui mikroskop disebut sebagai “mikroskopik hematuria.”

Jika terdapat banyak darah, ia boleh membentuk gumpalan yang menghalang aliran air kencing dan menyebabkan kesakitan yang teruk.

Penyebab Kencing Berdarah:

Air kencing berwarna merah tidak selalu disebabkan oleh sel darah merah. Ia juga boleh disebabkan oleh:

  • Hemoglobin (membawa oksigen dalam sel darah merah) dalam air kencing akibat pemecahan sel darah merah
  • Protein otot (myoglobin) dalam air kencing akibat pemecahan sel-sel otot
  • ‘Porphyria’ (penyakit yang terhasil akibat kekurangan enzim yang terlibat dalam penghasilan heme)
  • Makanan tertentu seperti ubi bit, rhubarb, dan pewarna makanan
  • Ubat-ubatan seperti rifampin dan phenazopyridine

Kencing berdarah juga boleh disebabkan oleh masalah berkaitan dengan buah pinggang atau bahagian lain dalam sistem saluran air kencing, seperti kanser pundi kencing, jangkitan buah pinggang, inflamasi buah pinggang, kecederaan buah pinggang, batu karang di buah pinggang, dan banyak lagi.

Gejala Berkaitan Kencing Berdarah:

Pesakit yang mengalami kencing berdarah boleh mengalami gejala lain seperti sakit di bahagian pinggang, sakit di bahagian bawah abdomen, rasa hendak terkencing yang tidak boleh ditahan lagi, dan kesukaran untuk mengeluarkan air kencing.

Rawatan:

Rawatan bergantung kepada penyebab kencing berdarah. Kadang-kadang, rawatan mungkin tidak diperlukan jika ia adalah penyakit ringan. Jika tidak, pengesanan dan rawatan penyakit yang mendasarinya adalah penting.

Jika anda mengalami kencing berdarah tanpa sebab yang jelas, disarankan untuk mendapatkan penilaian lanjut dari doktor. Terutamanya, jika anda mempunyai faktor risiko untuk kanser pundi kencing seperti berumur 50 tahun ke atas, merokok, atau terdedah kepada bahan kimia industri tertentu.

Similar Posts