· ·

“Bayar RM100 kat Sini, Rm300 dekat balai” – Video YouTuber UK Viral Dapat Diskaun Saman Trafik Ketika Kena Tahan

Sumber: SAYS

Satu insiden yang memaparkan seorang anggota polis trafik memberikan ‘diskaun’ kepada pasangan pelancong yang dituduh memandu melebihi had laju sedang menjadi tular di YouTube. Dalam video yang dikongsikan di akaun ‘UK Van Lifers’, pasangan ini, yang kini terkenal di media sosial dalam perjalanan mereka di Malaysia dengan van, telah ditahan semasa dalam perjalanan ke Ipoh, Perak.

Visual menunjukkan van yang mereka pandu dihentikan oleh seorang anggota polis trafik yang berpakaian seragam pada minit ke 3:52 dalam video bertajuk “UK Van Lifers stopped by the polis in Malaysia”.

Anggota polis trafik itu mendakwa van tersebut memandu pada kelajuan 80 kilometer sejam, melebihi had laju yang dibenarkan iaitu 60 kilometer pada pukul 11.50 pagi.

Wanita pemandu van bertanya kepada polis tentang langkah yang perlu diambil. “Saya akan berikan kamu surat saman dan kamu pergi ke balai polis untuk membayarnya. Boleh? Atau bayar di sini?” soal polis trafik tersebut.

Wanita itu kemudian memberi opsyen kepada polis trafik itu untuk memberikan surat saman atau membuat bayaran segera. “Kalau (bayar) di balai polis RM300. Kalau di sini RM100,” kata polis trafik tersebut sambil melihat telefonnya.

Dengan dua pilihan, iaitu membayar saman RM300 di balai polis atau RM100 di tempat kejadian, pasangan itu bersetuju untuk membayar tunai dan menyerahkan RM100 kepada polis tersebut.

Anggota polis trafik itu kelihatan menerima wang tersebut tanpa mengeluarkan sebarang surat saman. Dia juga menolak untuk memeriksa sebarang dokumen setelah wanita tersebut menawarkan untuk berbuat demikian.

Dalam komen video, pasangan itu mengaku tidak sedar bahawa mereka memandu melebihi had laju. Meskipun begitu, mereka merasakan membayar secara tunai dengan kadar yang lebih rendah di tempat kejadian adalah pilihan yang baik berbanding pergi ke balai polis dan membayar denda yang lebih tinggi.

“Rasa malu teramat, dengan tingkah laku polis. Harap dia ditangkap” – Netizen

Sementara itu, pada masa penulisan artikel ini, video tersebut telah mendapat lebih 53,000 tontonan, 2,400 tanda suka, dan 1,191 komen di YouTube. Kejadian yang menimpa YouTuber dari UK ini mendapat perhatian ramai netizen dari Malaysia.

Beberapa netizen memberikan reaksi pelik dan ada yang mendakwa tindakan anggota polis trafik itu sebagai rasuah. Mereka juga memberi amaran: “Jangan bayar saman di tepi jalan, bayarlah di balai polis atau atas talian. Kalau di balai polis, boleh dapat diskaun, tak perlu bayar RM300 tu.”

“Polis itu meminta suapan. Dia tak sepatutnya meminta wang daripada kamu. Saya rasa kasihan dengan situasi yang kamu lalui. Polis memalukan.”

video :