‘Betapa baiknya Anak Saya, Dia Tidak Pernah Bermusuh Dengan Sesapa’ – Ayah Faisal Halim
Sumber: MalaysianGazzete
Ayah kepada pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim yang juga dikenali sebagai Halim Saad, mengaku menerima dengan redha nasib yang menimpa anaknya susulan insiden disimbah asid baru-baru ini.
Melalui temubual bersama Malaysia Gazette, Halim melihat ada hikmah yang tersirat dalam insiden itu.
Halim berdoa agar si penyerang yang berniat jahat terhadap anaknya mendapat hidayah dari Ilahi.
“Saya serahkan segalanya kepada takdir dan redha dengan apa yang menimpa anak saya. Mungkin ada hikmah yang tersembunyi dalam kejadian itu, walaupun ada yang menganggap ini sebagai kifarah baginya.”
“Saya berharap agar orang yang telah melakukan perkara tersebut akan mendapat hidayah daripada Allah dan sedar bahawa dia telah melakukan satu kesilapan besar dalam Islam.”
Dalam temubual yang sama, Halim menggambarkan Faisal sebagai seorang yang ramah dan ceria. Malah, beliau yakin anaknya tidak pernah berkonflik dengan sesiapa pun.
“Bagi saya, anak saya tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa. Dia adalah seorang yang tidak suka menyembunyikan perasaan daripada orang lain.”
“Perwatakan Faisal sama seperti saya, kadang-kadang jika dia bersemangat dalam sesuatu, dia akan menjadi sangat gembira. Dia adalah seorang yang sangat ramah.”
“Saya berdoa agar dia terus kuat dan dapat bangun semula untuk kerjayanya. Insya-Allah, mari kita semua bersama-sama berdoa untuknya.”
Sebelum ini, Faisal mengalami kecederaan serius selepas disimbah asid oleh dua individu yang tidak dikenali ketika membawa anak dan isterinya ke sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.
Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey, telah berjaya menjalani pembedahan kedua pada Selasa malam.
Menurut laporan media tempatan, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang melawat Faisal di hospital, mengesahkan pemain itu sudah sedar dan mula makan.
Selain Faisal, dua lagi pemain bola sepak yang terlibat dalam insiden tersebut ialah Akhyar Rashid dan Safiq Rahim.
VIDEO :