| |

Lee Zii Jia Muncul Juara Terbuka Thailand 2024 – “Malaysia Boleh!”

Sumber :  X | @kroolnizam

Pemain perseorangan lelaki badminton negara, Lee Zii Jia, membawa khabar gembira kepada rakyat Malaysia apabila berjaya merampas kembali trofi Terbuka Thailand, yang kali terakhir dimenanginya pada tahun 2022.

Menurut Harian Metro, Zii Jia yang kini menduduki ranking ke-10 dunia, memulakan permainan dengan kuat dan mendominasi perlawanan menentang wakil Hong Kong, Ng Ka Long, dengan kemenangan 21-11, 21-10 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nimibutr, Bangkok.

Pemain kelahiran Kedah berusia 26 tahun itu mempamerkan permainan yang agresif dan berhati-hati dari awal, memastikan kemenangan dalam masa hanya 15 minit untuk set pertama dan mengekalkan momentum tersebut dalam set kedua.

Kejohanan bertaraf Super 500 ini menyaksikan rekod pertemuan antara kedua-dua pemain kini terikat 4-4 selepas lapan pertemuan.

Kemenangan ini memberikan suntikan semangat buat Zii Jia yang akan beraksi di tempat sendiri di Axiata Arena dalam saingan Masters Malaysia yang akan bermula Selasa depan.

Ini adalah kejuaraan pertama Zii Jia tahun ini ketika beliau bersiap sedia untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

Awal tahun ini, pencapaian terbaik Zii Jia adalah di suku akhir Terbuka India, Masters Indonesia, Seluruh England, dan Kejohanan Badminton Asia (BAC).

Zii Jia yang meraikan kejayaannya dengan meletakkan jari telunjuk di mulut membawa pulang hadiah wang tunai USD 31,500 (RM 147,640), manakala Ka Long yang meraih gelaran naib juara membawa pulang USD 15,960 (RM 74,804).

Sebagai rekod, kemenangan ini adalah yang kedua buat Zii Jia selepas turut menjuarai kejohanan yang sama pada edisi 2022.

Video :

https://x.com/i/status/1792109015595667516

Similar Posts