| |

Malaysia Lakar Sejarah Juara Berganda Piala Dunia ISTAF Sepak Takraw 2024

Sumber :  Tiktok | @ASTROARENA

Pasukan Malaysia mencipta kenangan manis apabila berjaya menewaskan kuasa besar sepak takraw, Thailand, dalam acara double dan regu di Piala Dunia ISTAF Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur malam tadi.

Menurut laporan Harian Metro, Ketua Pasukan Regu Negara, Farhan Adam, menyatakan bahawa bukan mudah untuk menewaskan lawan mereka itu kerana Malaysia sering kali dikecewakan apabila bertemu Thailand.

Katanya, kejayaan di perlawanan akhir adalah detik terbaik dalam kariernya sebagai pemain sepak takraw di pentas dunia.

“Kemenangan malam ini dalam acara double dan regu adalah kenangan manis dalam karier saya. Menentang musuh tradisi Thailand bukan sesuatu yang mudah sebab kita selalu kalah dengan mereka,” katanya.

Terdahulu, skuad regu negara mempamerkan aksi cemerlang untuk mengecewakan Thailand dengan kemenangan straight set 15-7, 15-12.

Selain Farhan, Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan), dan Muhammad Haziq Hairul Nizam yang masuk sebagai pemain gantian juga berjaya beraksi dengan baik.

Kemenangan kali ini menebus kekecewaan di edisi Piala Dunia Korea Selatan yang menyaksikan Malaysia tewas di perlawanan akhir kepada Thailand.

Sebelum itu, pasukan double yang turun menentang Thailand membuka langkah cemerlang dengan kemenangan straight set 17-16, 15-14.

Namun, perlawanan itu bukanlah mudah apabila duo negara, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Azwawi, bermain dengan baik untuk mendahului 10-3 di set pertama dan meneruskan momentum itu di set kedua dengan kemenangan yang bermakna.

Skuad negara akan meneruskan perjuangan dalam acara regu berpasukan hari ini dan mengidamkan kejuaraan hatrik di tanah air sendiri.

Video

Video :

https://x.com/ASTROARENA/status/1793292583328006266

Similar Posts