Netizen Dakwa Pengaruh ‘Influencer’ Jadi Punca Lebih 10,000 Calon Tidak Hadir SPM 2023
Sumber : Vocket
Hari ini, semua pelajar Tingkatan 5 di seluruh Malaysia menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun, berita mengejutkan ramai apabila jumlah ketidakhadiran pelajar meningkat dengan drastik.
Menurut laporan Harian Metro, seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan tersebut.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata jumlah ketidakhadiran ini perlu ditangani dan diteliti supaya langkah intervensi dapat dilaksanakan.
“Kita akan teliti punca kenapa calon ini tidak hadir (menduduki SPM 2023), selepas berlaku penurunan agak banyak (bagi calon yang mendaftar SPM 2023 berbanding 2022).
“Kita akan teliti satu persatu, intervensi akan kita laksanakan untuk tangani perkara ini sebaiknya,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2023 di Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini.
Susulan perkongsian berita itu, netizen bukan sahaja risau malah menuduh pengaruh influencer sebagai punca semakin ramai murid sekolah malas untuk mengambil peperiksaan SPM.
Bagi mereka, hal ini terjadi kerana golongan muda sering dimomokkan tentang ketidakperluan mengambil SPM kerana menjadi influencer dilihat lebih senang dan lumayan dari segi pendapatan. Malah, ada individu merendah-rendahkan ilmuwan kerana tidak mampu hidup mewah seperti mereka yang berkerjaya sebagai pencipta kandungan.
Oleh sebab itu, sebahagian ibu bapa meminta kerajaan mengambil langkah komprehensif dalam membendung isu ini. Hal ini penting kerana ramai risau akan pelapis negara yang semakin tidak berkualiti dan kemungkinan ketiadaan sumber pekerja dalam bidang profesional di masa hadapan.

