Tular Isu Hentikan Boikot Dalam Khutbah Jumaat, PDRM Buka Kertas Siasatan
Sumber : The Rakyat Post
Menurut PDRM, seorang lelaki berusia 42 tahun telah tampil membuat laporan polis selepas tidak berpuas hati terhadap satu video yang dimuat naik seorang individu yang mengulas tentang isu boikot dalam khutbah Jumaat.
Sebelum ini, kecoh di media sosial mengenai teks khutbah solat Jumaat pada 24 Mei yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak yang bertajuk ‘Menghayati Keadilan Sejagat dalam Kehidupan Bernegara’.
Dalam teks tersebut, Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh menyuarakan pandangannya mengenai isu boikot atau memulaukan perniagaan tertentu. Beliau berpendapat tindakan ini perlu dihentikan kerana bertentangan dengan prinsip keadilan dalam Islam, tidak menepati sunnah Rasulullah SAW, dan boleh menjurus kepada kezaliman.
Selain itu, teks khutbah itu juga menerangkan kesan buruk yang boleh terjadi kepada ekonomi negara akibat daripada tindakan boikot.
Jabatan Mufti Perak Akan Berikan Penjelasan Berhubung Teks Khutbah
Perkara ini menjadi trending dan menarik perhatian banyak pihak. Menteri Besar Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, diminta mengulas isu tersebut pada 24 Mei lalu. Beliau menyatakan bahawa Jabatan Mufti Perak akan memberikan penjelasan mengenai maksud sebenar teks khutbah itu.
Penjelasan Penting untuk Pemahaman Masyarakat
Penjelasan daripada pihak Jabatan Mufti adalah penting untuk memberikan pemahaman yang jelas kepada masyarakat. Beliau juga mengesahkan bahawa teks khutbah tersebut disediakan oleh Jabatan Mufti dan ditandatangani oleh Mufti Perak sendiri.
Masyarakat Diminta Bertenang Sementara Menunggu Penjelasan
Menteri Besar meminta semua masyarakat agar kekal tenang sementara menunggu penjelasan daripada pihak berkenaan. “Nasihat saya pada orang ramai, tak perlulah kita mengamuk, mengamuk tak selesai masalah, tak perlu kita menghasut, menghasut pun tak selesai masalah. Jadi kita bertenang,” ujarnya seperti dilaporkan Astro Awani.
Polis Buka Kertas Siasatan Selepas Tular Video yang Disifatkan Ganggu Ketenteraman Awam
Pada 26 Mei, pihak polis membuka kertas siasatan berhubung penyebaran video palsu mengenai teks khutbah Jumaat yang menyentuh isu boikot. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abang Ahmad, menyatakan bahawa siasatan dibuka mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata, laporan itu diterima daripada seorang lelaki berusia 42 tahun pada 25 Mei lalu, yang tidak berpuas hati dengan video di TikTok. “Daripada keterangan diberikan, lelaki terbabit menyifatkan ulasan dalam video tersebut boleh mengganggu ketenteraman awam khususnya umat Islam di Perak,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Video Ulas Isu Boikot Dalam Khutbah Jumaat, Hanya Satu Laporan Diterima
Menurut Abang Zainal, polis mendapati video itu dimuat naik oleh ‘Ustaz Nur’ yang mempunyai sekitar 18,000 pengikut. Kandungan video tersebut adalah ulasan mengenai isu boikot sewaktu khutbah pada 24 Mei lalu. Setakat ini, hanya satu laporan diterima.
Dakwa Khutbah Jumaat Seru Hentikan Boikot
Dalam video tersebut, Ustaz Nur mendakwa khutbah Jumaat pada 24 Mei di Perak menyeru orang ramai untuk menghentikan boikot terhadap produk yang menyokong Zionis. Sebagai makluman, Mufti Perak sebelum ini menasihatkan agar tidak mengamalkan kegiatan boikot kerana bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW. Menurut Wan Zahidi, keadilan adalah nilai suci dalam Islam yang wajib ditegakkan tanpa mengira kaum.
Umum mengetahui konflik yang berlaku di Timur Tengah membabitkan Palestin dan Israel masih belum berakhir, menyebabkan banyak nyawa terkorban. Ramai yang ingin menunjukkan solidariti dengan memboikot barangan atau produk yang menyokong Zionis.
Sumber :