[Video] Peniaga Di Korea Jual Lemang Instant, Masak 3 Minit & Boleh Terus Makan
Sumber : Tiktok | @campingformania
Setiap kali tiba musim perayaan di Malaysia, menu yang wajib ada atas meja adalah lemang. Kalau tak ada hidangan ini, pasti terasa ada sesuatu yang kurang.
Lemang Instant Korea Selatan
Di zaman sekarang, kalau tak nak bakar lemang sendiri, banyak peniaga yang menjualnya di tepi jalan. Nak pesan secara online dan datang ambil pun boleh. Maklumlah, agak leceh juga nak bakar lemang sendiri. Kalau tersilap langkah, lemang boleh jadi mentah atau tak masak dengan sempurna.
Lemang Instant Korea Selatan
Menariknya, di Korea Selatan ada peniaga yang menjual ‘lemang instant’ di mana pembeli tak perlu susah payah menyediakan bahan dan mengisi dalam buluh. Hanya buka bungkusan plastik dan bakar di atas api. Mudah, kan?
Keunikan Lemang Instant
Keunikan ini dikongsi dalam video di TikTok (@camping for mania), di mana ‘lemang instant’ ini dinamakan ‘Bamboo Steamed Rice’ seperti yang tertera pada bungkusan. Dalam setiap paket, ada dua batang buluh yang hanya perlu dimasak di atas api atau dipanaskan dalam gelombang mikro selama tiga minit 30 saat sebelum boleh dimakan.
Bahan-bahan yang dimasukkan ke dalam buluh adalah santan, pulut dan garam. Ia perlu dimasak di atas api selama tiga hingga lima minit. Cara membuka buluh itu pun sama seperti lemang yang kita makan ketika hari raya.
Harga Lemang Instant
Berdasarkan carian kami di sebuah laman web di Korea Selatan, harga jualan untuk dua batang ‘lemang instant’ ini adalah sekitar RM67.52 (โฉ19,800).
Reaksi Orang Ramai
Ramai rakyat Malaysia terpegun melihat produk ini. Mana taknya, menu tradisional Malaysia kini semakin dikenali di peringkat antarabangsa dengan cara yang unik. Pengguna TikTok juga terkejut melihat lemang sudah ada versi ‘instant’ yang lebih mudah dimasak.
“Wow, diorang punya lemang lagi advance dari kita,” kata seorang pengguna TikTok.
Namun, ada juga yang berpendapat lemang ini tidak setanding dengan lemang asli kerana hanya menggunakan beras pulut sahaja.
“Diorang cuma guna beras pulut je, lemang lagi special sebab ada daun pisang dan santan. Tapi ini pun idea yang baik untuk jual lemang di pasar raya atau 7E,” kata seorang pengguna media sosial.