Puas Cari Kerja, Pemuda Buat Video Kreatif Tarik Perhatian Majikan!
Sumber : Tiktok | @danial.syabil
Tular satu video di media sosial menunjukkan seorang pemuda kreatif yang membuat resume dalam bentuk video untuk mencari kerja kosong. Pemuda ini, Danial Syabil, berkongsi video tersebut di TikTok sebagai sebahagian daripada usahanya mencari pekerjaan baru.
Dalam perkongsiannya, Danial memperkenalkan diri dan menjelaskan bahawa dia sedang mencari kerja baru. “Hello, nama saya Danial Syabil, saya tengah cari kerja baru. Buat masa sekarang, saya bekerja di Astro sebagai Senior Associate – Content, Scripted Originals,” katanya.
Danial juga menyenaraikan beberapa kemahiran yang dimilikinya dan pengalaman yang diperoleh sepanjang bekerja di Astro. Selepas bertahun-tahun memegang jawatan tersebut, dia memutuskan untuk mencari cabaran baru dalam kerjaya.
“Selepas bertahun memegang jawatan ini, saya rasa saya nak berhenti dan cari kerja baru. Sebenarnya, keputusan ini tak mudah untuk saya. Tapi selepas saya fikir dan dapatkan pendapat daripada kawan-kawan dan terutamanya ibu bapa, saya memutuskan untuk mengambil keputusan ini,” ujarnya.
Danial juga berkongsi bahawa dia telah memohon pekerjaan di beberapa tempat baru namun masih belum menerima sebarang panggilan temuduga. Oleh itu, dia menghasilkan video resume untuk menarik perhatian perekrut.
“Jadi saya kena menonjol untuk dapatkan perhatian daripada recruiters dengan buat video resume ini. Untuk semua recruiters dan HR yang tengah tengok video ni, apa kata kita tentukan masa dan jemput saya untuk sesi temubual,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen memberikan sokongan dan memuji kreativiti Danial dalam usahanya mencari pekerjaan.