[Video] Fesyen Jemaah Haji Indonesia Ketika Pulang Ke Tanah Air Jadi Bualan
Sumber : Tiktok
Dalam video yang dikongsikan, kelihatan beberapa jemaah haji wanita dari Indonesia begitu gembira melambai-lambai kepada orang sekeliling sebaik turun dari pesawat, seolah-olah berjalan dalam pertunjukan fesyen.
Kita semua tahu, umat Islam di seluruh dunia baru sahaja menyambut Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijjah yang jatuh pada Isnin (17 Jun) lalu.
Bagi mereka yang berpeluang menunaikan ibadah haji di Mekah, ada yang telah pun pulang ke tanah air masing-masing minggu ini.
Kebiasaannya, kepulangan ini membawa perubahan yang baik atau positif buat individu tersebut.
Namun, lain pula ceritanya dengan segelintir jemaah haji dari negara seberang yang dilihat seakan-akan tidak mencerminkan diri mereka yang baru pulang dari menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Pulang Ke Tanah Air Dengan Pelbagai Fesyen
Dalam video yang dikongsi di akaun TikTok @ahmadfatwajatier, kelihatan beberapa jemaah haji di Makassar, Indonesia telah selamat pulang dari menunaikan ibadah tersebut.
Mereka disambut oleh ahli keluarga serta kakitangan lapangan terbang Sultan Hasanuddin Makassar.
Apa yang menarik perhatian adalah beberapa jemaah haji wanita tersebut mengenakan pakaian seperti dress pengantin yang penuh dengan hiasan manik seperti lace dan barang kemas.
Ada juga yang memakai tudung hingga menampakkan bahagian leher dan sebahagian rambut mereka.
Mereka kelihatan gembira melambai-lambai kepada orang sekeliling sebaik sahaja turun daripada pesawat, dan berjalan seperti model dalam pertunjukan fesyen.
Ada juga yang berdiri sambil menggayakan baju yang dipakai untuk dirakam oleh jurugambar yang berdekatan.
Pengguna TikTok Kecewa Lihat Fesyen Yang Digayakan
Video yang mendapat tontonan 4.2 juta itu nyata menarik perhatian pengguna TikTok. Ramai yang terkejut dan tidak menyangka segelintir jemaah haji menggayakan fesyen sebegitu.
Bagi mereka, jemaah haji tersebut seharusnya menggayakan fesyen yang lebih sopan sesuai dengan kepulangan mereka yang baru menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Ada juga pengguna TikTok dari Malaysia yang membandingkan jemaah haji tempatan dengan jemaah haji dari negara seberang itu.
Mereka merasakan jemaah haji Malaysia lebih sopan dan tidak berlebih-lebihan selepas menunaikan ibadah tersebut.
Gayakan Baju Glamour Setelah Pulang Dari Ibadah Haji Adalah Budaya
Menurut detik.com, Kementerian Agama Sulawesi Selatan menjelaskan bahawa menggayakan pakaian sebegini sebaik pulang ke tanah air merupakan satu budaya masyarakat Sulawesi Selatan.
Walaupun telah diberi peringatan untuk tidak berlebihan dalam menggayakan fesyen dan hanya mengenakan pakaian batik, tradisi tersebut sukar dihalang kerana sudah menjadi kebiasaan di sana.
Ia sebagai tanda kebanggaan jemaah dan bukti kepada keluarga bahawa mereka telah selesai menunaikan ibadah haji.
Berikut adalah antara komen pengguna TikTok:
“Adakah Title Haji Atau Hajah Diorang Ini Macam Dapat Title Dato Datin? Kemain Fesyen Menyala.”
“Alhamdulillah Jemaah Haji Malaysia Kalau Perempuan Saat Turun Pesawat Masih Tertutup Rapi Auratnya, Tak Nampak Leher.”
“Sedih Tengok, Patutnya Balik Dari Mekah Jadi Lebih Baik Dari Sebelumnya.”