TikToker Kongsi Kisah Seram Di Kampung Patung Jepun, Nagoro
Sumber : Tiktok | @addamshahh
Baru-baru ini, seorang TikToker Malaysia yang tinggal di Jepun berkongsi pengalaman seramnya ketika melawat Nagoro, sebuah kampung di Jepun yang hanya dihuni oleh patung bersaiz manusia.
Pengalaman Seram di Sekolah Nagoro
Dalam video TikToknya, @addamshahh menceritakan kejadian aneh yang berlaku ketika dia melawat sebuah sekolah di kampung tersebut. Rakaman video yang diambilnya tiba-tiba tidak mengeluarkan suara. Lebih menakutkan lagi, ketika dia memeriksa semula rakaman itu, jam dalam video menunjukkan 1.27 petang ketika dia mula masuk, tetapi dua minit kemudian, jam itu telah berubah ke 1.43 petang. Pelik, bukan?
Misteri Kampung Nagoro
Nagoro adalah sebuah kampung kecil di kawasan terpencil Shikoku. Dahulu, kampung ini mempunyai sekitar 300 penduduk. Namun, akibat penurunan populasi di Jepun dan kemajuan urbanisasi, jumlah penduduk semakin berkurang sehingga hanya tinggal 30 orang.
Seorang penduduk tempatan dan artis, Tsukimi Ayano, memutuskan untuk menggantikan penduduk yang telah meninggal dunia atau berpindah dengan patung yang menyerupai mereka. Jirannya turut menerima idea ini, sehingga setiap sudut Nagoro kini dipenuhi patung bersaiz manusia. Pada tahun 2022, terdapat lebih 350 patung di kampung ini.
Lokasi dan Cara ke Nagoro
Nagoro terletak di bahagian timur Iya Valley di Pulau Shikoku. Kawasan ini terpencil dan cara mudah untuk ke sana adalah dengan kereta atau menaiki kereta api dan bas. Namun, jika ingin melawat, pastikan datang pada waktu siang kerana tiada tempat penginapan di kampung tersebut atau kawasan berdekatan.
Kampung ini sekarang memang tidak berpenghuni, jadi jika anda berjalan di sana, anda akan melihat patung di pelbagai tempat termasuk di jalan utama, yang menjadikan suasana lebih menyeramkan.
Tempat Menarik di Nagoro
Antara tempat yang boleh dikunjungi di Nagoro termasuklah dewan kampung yang dipenuhi patung dan brosur yang mengandungi maklumat sejarah tempat tersebut. Di hujung kampung terdapat sebuah hentian bas kecil dengan beberapa patung yang menyerupai ahli politik.
Selain itu, sekolah lama juga adalah salah satu tarikan di sana kerana dipenuhi dengan patung guru dan pelajar, yang kebanyakannya boleh dilihat di dewan sukan seperti yang dikongsikan oleh @addamshahh dalam videonya.
Seram, tapi menarik…