“Kerajaan Rugi RM185 Juta Kerana Vaksin Covid-19 Tamat Tempoh, Apa Ceritanya?”
Sumber : The Vocket
Sebanyak 9.1 juta dos vaksin Covid-19 dari pelbagai jenama terpaksa dibuang kerana telah tamat tempoh. Menurut laporan Harian Metro, kerugian akibat pelupusan ini telah mencecah RM185 juta setakat 11 Jun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menjelaskan bahawa pelupusan besar-besaran ini melibatkan isu logistik dan penyimpanan stok. Sejak program imunisasi Covid-19 bermula pada 24 Februari 2021, kerajaan telah menerima 84.5 juta dos vaksin melalui pembelian atau sumbangan.
“Bila ditanya tentang kerugian, saya tidak bermaksud untuk mengkritik menteri-menteri terdahulu. Mereka tidak mempunyai SOP yang jelas ketika itu, dan persaingan untuk mendapatkan vaksin sangat sengit,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Dr Dzulkefly juga menyatakan bahawa kerajaan menerima 26 laporan kesan sampingan serius dari sejuta penerima vaksin, termasuk kemasukan ke hospital atau risiko maut.
“Kami sedar dan sentiasa memantau situasi ini melalui Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA). Setiap kes kematian akan disusuli dengan siasatan forensik untuk mengenal pasti sebabnya,” tambahnya.
Apakah pandangan anda tentang isu ini? Adakah langkah ini wajar diambil atau perlu ada pendekatan lain?