·

Trailer Filem Harimau Malaya, Penampilan Faisal Halim Curi Perhatian

Sumber : Youtube

Trailer filem “Selamanya Harimau Malaya” atau “Harimau Malaya: The Untold Journey”, yang diadaptasi daripada kisah benar pasukan kebangsaan, telah dipertontonkan kepada umum.

Trailer tersebut menampilkan beberapa babak menarik seperti penyokong menyerbu bas pasukan, pertemuan pertama ketua jurulatih dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sesi latihan, serta saat-saat kekalahan dan kemenangan pasukan negara.

Yang paling mencuri perhatian adalah penampilan pemain sayap negara, Faisal Halim, yang berlakon sebagai pekerja pasaraya AEON BiG dan melontarkan dialog yang mengena.

“Penyokong sejati terima kekalahan atau kemenangan pasukan, itu baru penyokong sejati,” kata Faisal kepada Hazama dalam satu adegan.

Trailer itu juga memperkenalkan barisan pelakon filem “Harimau Malaya: The Untold Journey” seperti Tony Eusoff sebagai Presiden FAM, Erra Fazira sebagai isteri Presiden FAM, dan pelakon lain termasuk Meerqeen, Sophia Albarakbah, Aidil Aziz, Aiman Hakim Redza, Zain Hamid, Vanidah Imran, Amelia Henderson, Nam Ron, Bell Ngasri, Kavin Jay, dan Douglas Lim.

Filem ini dijangka akan menemui peminat pada 15 Ogos, dengan Afdlin mengesahkan ia bergenre fiksyen yang diilhamkan oleh kejayaan Harimau Malaya melayakkan diri ke Piala Asia 2023.