Kediaman Diserang Mengejut – Ismail Haniyeh Pemimpin Tertinggi Pejuang kebebasan Hamas Terbunuh di Tehran, Iran.
Sumber : Berita Harian
Khabar mengejutkan dari Tehran, Iran: Pemimpin nombor satu Hamas, Ismail Haniyeh, dilaporkan terbunuh ketika berada di sana untuk menghadiri upacara angkat sumpah presiden baru Iran. Berita kematiannya diumumkan oleh Hamas dan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dalam kenyataan masing-masing.
Menurut sumber, Haniyeh dilaporkan terbunuh dalam serangan yang disebut sebagai ‘serangan khianat Zionis’ di kediamannya di Tehran. “Pemimpin kami, mujahid Ismail Haniyeh, syahid dalam serangan Zionis di ibu pejabatnya di Tehran selepas menghadiri pelantikan presiden baru,” demikian kenyataan yang dikeluarkan.
Walaupun tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan ini, spekulasi menyatakan tentera Israel mungkin terlibat, terutama selepas ancaman terhadap Haniyeh dan pemimpin Hamas lain berikutan serangan pada 7 Oktober lalu.
Kenyataan rasmi dari Iran tidak menjelaskan secara terperinci bagaimana Haniyeh dibunuh. Namun, televisyen negara Iran melaporkan kematiannya pada awal Rabu, dengan penganalisis segera menuding jari kepada Israel sebagai dalang serangan.
Israel, seperti biasa, enggan mengulas mengenai pembunuhan ini, terutama jika melibatkan agensi perisikan Mossad mereka. Israel sering dikaitkan dengan kempen pembunuhan sasaran, termasuk terhadap saintis nuklear Iran dan individu lain yang dianggap sebagai ancaman kepada negara tersebut.
Dalam kempen yang telah berjalan selama bertahun-tahun, Israel didakwa telah membunuh lebih 39,360 rakyat Palestin dan mencederakan lebih daripada 90,900 orang, tanpa mengira status mereka sebagai orang awam atau pejuang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Kematian Ismail Haniyeh ini pastinya menggegarkan dunia politik Timur Tengah dan mencetuskan pelbagai reaksi di seluruh dunia.