Ultras Malaya Boikot Pestabola Merdeka 2024: Tindakan Betul Atau Sekadar Protes?
Sumber : The Vocket
Ultras Malaya, kumpulan penyokong tegar bola sepak negara, telah membuat keputusan untuk memboikot kejohanan Pestabola Merdeka 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 8 September ini.
Dalam satu kenyataan di media sosial, mereka menyatakan tidak akan membuka curva di dalam stadium sebagai tanda protes terhadap kejohanan tersebut. Walaupun tidak dinyatakan secara jelas sebab di sebalik tindakan ini, ramai percaya ia berkaitan dengan ketidakpuasan hati terhadap keadaan semasa bola sepak Malaysia, sama ada di peringkat kelab atau negara.
Sebelum ini, Ultras Panther, penyokong setia Penang FC, juga mengambil langkah sama dengan memberikan beberapa sebab mengapa mereka enggan hadir di Pestabola Merdeka kali ini.
“Selepas perbincangan dan dengan semangat yang padu, kami Ultras Panther memutuskan untuk tidak turun ke semua perlawanan di Pestabola Merdeka 2024. FAM dan MFL telah gagal!” kata mereka dalam satu kenyataan.
Antara isu yang mereka bangkitkan termasuk perletakan jawatan coach KPG yang penuh kontroversi dan tindak balas FAM yang dianggap seperti lakonan semata. Mereka juga mengkritik pengurusan Liga Malaysia oleh MFL yang semakin merosot serta keputusan-keputusan MFL dan FAM yang menimbulkan banyak persoalan tanpa penjelasan yang memuaskan.
Kegagalan FAM dalam mengatur perlawanan persahabatan yang diminta oleh KPG sebelum Kelayakan Piala Dunia turut dijadikan alasan atas kegagalan layak ke pusingan ketiga. Selain itu, FAM juga dikritik kerana tidak menangani dengan serius isu surat layang mengenai masalah dalaman mereka dan kurangnya empati terhadap pemain kebangsaan, terutama kes Faisal Halim.
Pestabola Merdeka edisi kali ini akan menampilkan empat pasukan: Malaysia, Filipina, Lebanon, dan juara bertahan Tajikistan. Malaysia akan bertemu Filipina pada 4 September, manakala satu lagi perlawanan akan melibatkan Lebanon dan Tajikistan. Pemenang dari perlawanan ini akan mara ke final yang dijadualkan pada 8 September di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dengan keputusan Ultras Malaya ini, adakah Pestabola Merdeka 2024 akan kehilangan sorakan semangat atau ini hanya satu lagi episod dalam drama bola sepak Malaysia? Kita tunggu dan lihat!