·

“Gitaris Radja Kantoi Menipu : Main Gitar Miming, Ciplak Audio Artis Austria!”

Sumber : Instagram

Gitaris terkenal dari Indonesia, Moldy dari kumpulan Radja, kini hangat diperkatakan selepas terkantoi menggunakan audio milik pencipta kandungan dari Austria, Simon Eichinger, tanpa kebenaran.

Menurut laporan Aula Musik Indonesia, kontroversi ini tercetus apabila Simon menuduh Moldy mencuri audionya untuk satu posting di Instagram. Dalam video tersebut, Moldy kononnya kelihatan sedang memainkan lagu “Another Day” daripada kumpulan legenda, Dream Theater.

Simon, yang tidak berdiam diri, segera tampil dengan video penjelasan di YouTube. Dalam video itu, dia dengan jelas menguraikan bagaimana dia mendapati audio yang digunakan oleh Moldy sebenarnya adalah hasil karyanya sendiri.

Simon mula curiga apabila menerima banyak mesej dari netizen yang mengajaknya menonton video Moldy. “Ada orang Indonesia bermain Another Day dari Dream Theater, tapi ada yang tak kena sejak awal,” kata Simon. Dia juga menambah, “Vibrato dan beberapa perkara lain tak sepadan dengan audio.”

Selepas menonton video Moldy berkali-kali, Simon yakin sepenuhnya bahawa audio itu adalah miliknya. Dia juga mengingatkan bahawa isu ‘play miming’ ini bukanlah perkara baru, tetapi kali ini ia melibatkan seorang pemuzik terkenal dari Indonesia.

“Dia memang curi audio saya,” tegas Simon.

Moldy, yang tidak menyangka akan mendapat kecaman hebat dari Simon dan peminat antarabangsa, terpaksa berdepan dengan kontroversi ini. Ada peminat dari Indonesia yang cuba mempertahankan Moldy di media sosial, namun Simon tetap berpegang teguh pada kebenaran dan terus berkongsi video penjelasan di YouTube.

“Ada yang cuba pertahankan dia dalam komen, dan bila saya cari, rupanya dia gitaris terkenal dari kumpulan Radja,” jelas Simon.

“Tak kira apa pun alasannya, apa yang Moldy buat adalah curi dan main gitar palsu.”

Kenyataan Simon ini bukan sahaja mencetuskan perdebatan mengenai etika dalam industri muzik, tetapi juga membuka mata ramai tentang pentingnya menghormati hak cipta.

Simon mengakhiri penjelasannya dengan satu nasihat yang cukup pedas, “Pengajaran moralnya ialah, jangan jadi macam dia.”