| |

“Jangan Kita Sambut Mereka! Influencer Lelaki Kini Berani Solek Macam Perempuan”

Sumber : Tiktok | @muiznazmii

Muiz, seorang pengguna TikTok, baru-baru ini mengundang perbincangan hangat apabila dia mempersoalkan tindakan beberapa influencer lelaki yang kini semakin berani mengenakan solekan dan berpakaian seperti wanita.

Secara semula jadi, manusia dilahirkan sebagai lelaki atau perempuan. Tapi sekarang, makin ramai yang mencabar norma dengan identiti LGBT—lesbian, gay, biseksual, dan transgender.

Bagi penganut Islam, perkara ini jelas dilarang dan dianggap haram. Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pernah menegaskan bahawa kelakuan ini bertentangan dengan fitrah manusia.

Namun, semakin ramai Muslim di Malaysia yang kelihatan cenderung ke arah gaya hidup ini.

Influencer Lelaki Semakin Berani Bersolek & Berpakaian Seperti Wanita

Baru-baru ini, satu hantaran di TikTok oleh @muiznazmii menjadi tular apabila Muiz menegur beberapa influencer lelaki yang semakin berani memakai solekan dan berpakaian seperti wanita. Isu ini timbul selepas satu majlis anugerah baru-baru ini.

Muiz bertanya, “Adakah kita semakin menerima golongan macam ni? Kenapa mereka semakin diterima dan rasa okay untuk keluar macam tu?”

Jelas Muiz, golongan ini sering dipulaukan semasa di sekolah, tapi sekarang mereka seolah-olah diraikan. Namun, dia menegaskan yang dia bukan menggalakkan pembulian, tetapi meminta agar mereka tidak diraikan.

“Aku ajak korang semua, jangan sambut mereka. Kalau mereka buat konten macam ni, jangan engage, jangan komen, jangan like, jangan follow,” kata Muiz.

Lelaki Lembut Tak Semestinya ‘Bapuk’

Tambahnya lagi, tak semua lelaki lembut itu ‘bapuk’. Ada lelaki yang lembut tapi tak sampai ke tahap nak pakai baju perempuan.

“Kalau lembut, lembut je. Tak perlu sampai nak berpakaian macam perempuan. Kalau ada sesiapa yang nak anjurkan event, keluarkan garis panduan pemakaian setiap jantina,” tegas Muiz.

Muiz juga mengingatkan, isu LGBT semakin meresap dalam masyarakat kita. “Jangan bagi ruang langsung kepada LGBT ni. Tengok apa jadi dekat negara Barat, kadar kesihatan seksual mereka hancur. Masalah makin bertambah. Apa nak jadi dengan Malaysia ni?” tambahnya.

Netizen Setuju Lelaki Semakin Berani Menyerupai Perempuan

Di ruangan komen, ramai yang bersetuju dengan pandangan Muiz. Ada yang berkata, semakin ramai pengguna media sosial yang mempertahankan lelaki yang menyerupai wanita.

“Ramai yang galakkan dan back up geng LGBT,” komen seorang pengguna TikTok.

Ada juga yang menyedari bahawa ideologi ini semakin meresap dalam komuniti Islam. “Betul bang, LGBT ni masuk perlahan-lahan dalam pemikiran kita sebab mengangkat influencer jadi idola,” kata seorang lagi.

Sementara itu, ada juga yang menegaskan bahawa walau apa pun alasan, haram tetap haram. “Bila ditegur, kata watak dalam media sosial je. Apa pun alasan, menyerupai jantina lain tetap haram,” komen seorang lelaki.

Islam Larang Lelaki Menyerupai Wanita

Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Islam melarang lelaki daripada menyerupai wanita melalui pemakaian atau perhiasan yang dikhususkan untuk kaum Hawa.

Wanita juga dilarang berpakaian seperti lelaki dan berlagak seperti kaum Adam.

Rasulullah SAW bersabda: “Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan orang perempuan yang memakai pakaian lelaki.” (Riwayat Abu Daud)

Pada Mei 2023, Menteri Agama Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan bahawa satu jawatankuasa telah dibentuk untuk menangani isu LGBT di Malaysia, dengan pelbagai inisiatif dan penguatkuasaan, termasuk pendidikan, dakwah, dan advokasi.

@muiznazmii

Aku ke sebenarnya pelik? Memang tak normal kan benda ni?

♬ Music Islami – R22 Music

Similar Posts