| |

Berlakon Macam Tak Tahu Owner Tesla ‘Kantoi’ Curang Elektrik, Cas Kereta Tanpa Jejak Meter.

Sumber : Says

Dalam dunia kereta elektrik, pengecasan adalah satu keperluan harian yang tak boleh dielakkan. Pengguna memang perlu bersedia dengan bil elektrik yang mungkin lebih tinggi, memandangkan kuasa yang digunakan untuk mengecas kenderaan ini cukup tinggi.

Namun, di sebalik kebanyakan kita yang setia membayar bil elektrik tepat pada masanya, ada juga segelintir yang licik mencari jalan pintas untuk menjimatkan kos — dengan mencuri elektrik!

Baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila sebuah video menunjukkan serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah yang disyaki memanipulasi sistem pengecasan kereta elektrik, kononnya untuk mengelak dari dikesan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

TNB Dedah Kesalahan, Pemilik Tesla Terkejut

Dalam video tersebut, jelas kelihatan beberapa wakil dari TNB datang ke rumah terbabit selepas menerima aduan mengenai penggunaan elektrik yang mencurigakan. Pemilik Tesla itu didakwa telah mengubah suai pemasangan pengecasan keretanya agar penggunaan elektrik tidak direkod oleh meter, yang sekaligus menyebabkan bil tidak meningkat seperti sepatutnya.

Menurut pekerja TNB yang hadir, pemasangan tersebut dibuat sebelum meter elektrik, menyebabkan penggunaan tenaga tidak dapat dikesan dan direkodkan oleh meter rumah tersebut. Situasi ini jelas merugikan TNB.

“Penyambungan wayar ini (stesen pengecasan) sebelum meter, jadi meter tak rekod sebarang penggunaan. Bila meter tak rekod, bil tak akan sampai, dan ini jadi kerugian kepada TNB,” jelas pekerja TNB berkenaan.

Apabila diberitahu tentang kesalahan tersebut, pemilik rumah dilihat terkejut dan menuding jari kepada juruteknik yang melakukan pemasangan. Namun, tindakan telah diambil dengan memotong dan membetulkan semula litar elektrik terbabit. Menurut pekerja TNB, tindakan pemilik tersebut adalah satu kesalahan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990.

Kes ini memberi amaran kepada semua pengguna elektrik, lebih baik bayar dari awal daripada akhirnya berdepan dengan tindakan undang-undang.

https://twitter.com/i/status/1824063424420298799 

Similar Posts