·

Dua Budak Hilang Sebenarnya Terperangkap Dalam Lif Lebih 9 Jam!’

Sumber : X

Dua kanak-kanak dari Desa Petaling yang dilaporkan hilang sejak petang semalam akhirnya ditemui selamat selepas lebih 9 jam. Khabar baiknya, mereka ditemui terperangkap dalam lif yang sedang diselenggara di kondominium mereka.

Menurut Buletin TV3, Faiq Adiwira, 11, dan seorang lagi budak berusia 10 tahun ditemui dalam keadaan tertidur di dalam lif tersebut sekitar pukul 12.45 tengah malam. Mereka hanya dikesan selepas rakaman CCTV menunjukkan kelibat mereka di dalam lif.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh, mengesahkan bahawa kedua-dua kanak-kanak ini selamat dan tidak cedera. “Kita terima dua laporan polis mengenai kehilangan mereka petang semalam. Mereka dilaporkan keluar rumah sekitar pukul 2.30 petang untuk membeli pai sebelum terperangkap dalam lif tersebut,” jelasnya.

Difahamkan, kanak-kanak ini sudah berusaha meminta bantuan sehingga keletihan dan akhirnya tertidur di dalam lif.