‘Pegawai Imigresen Biadap, Wanita Ini Bagi Amaran: ‘You Patut Cari Kerja Lain!’
Sumber : Tiktok
Kerja dalam khidmat pelanggan memang penuh cabaran, tapi itu bukan alasan untuk beri layanan buruk. Baru-baru ini, seorang wanita bernama Rossneeda mendedahkan kejadian memalukan di pejabat imigresen Putrajaya melalui TikToknya.
Kejadian ini bermula ketika Rossneeda tiba di pejabat imigresen sekitar pukul 10 pagi dan menunggu selama 20 minit. Dia terkejut melihat seorang pegawai imigresen yang mengherdik dengan suara tinggi dua wanita dari India. Salah seorang daripada mereka sedang mendukung bayi, dan ini membuatkan Rossneeda berasa kesal dengan layanan yang diterima.
Dalam video yang dikongsi, Rossneeda menegaskan bahawa walaupun banyak kakitangan kerajaan yang bersikap baik, masih ada yang menunjukkan sikap tidak menghormati pelanggan. Terasa terganggu dengan kejadian itu, dia memutuskan untuk menegur pegawai berkenaan secara terus.
Pegawai tersebut kelihatan tidak puas hati dengan teguran Rossneeda dan mempersoalkan mengapa dia masuk campur. Rossneeda dengan tegas berkata, “Kalau you tak suka, pergi kerja tempat lain daripada berurusan dengan orang ramai di kaunter. Sebagai penjawat awam, you patut melayan orang dengan hormat dan empati. Kalau tak boleh, cari kerja lain,”.
Pegawai itu cuba mempertahankan tindakannya dengan alasan terpaksa melayan ramai orang setiap hari. Rossneeda menjelaskan bahawa perkhidmatan pelanggan sepatutnya disampaikan dengan senyuman dan kesopanan. Jika tidak mampu, mungkin lebih sesuai untuk tukar peranan.
“Semua orang berhak dihormati, tanpa mengira status atau kedudukan mereka,” tegasnya dalam video tersebut.
Video tersebut mendapat perhatian netizen, ramai yang menyokong tindakan Rossneeda menegur pegawai dengan berani. Mereka berpendapat tindakan sebegini penting untuk memastikan khidmat pelanggan tetap berkualiti dan hormat.