| |

Wanita Muda Derita Akibat Produk Kosmetik Merkuri, Kulit Breakout Teruk Hingga Berlubang

Sumber : Says

“Nanah sampai meleleh keluar waktu mandi,” luah seorang mangsa produk kosmetik merkuri yang berkongsi kisah deritanya di TikTok baru-baru ini.

Nur Syamimi Azmi, atau lebih dikenali sebagai Mimie, 27, tak pernah menyangka hidupnya akan berubah drastik akibat penggunaan produk kosmetik yang dipercayai mengandungi merkuri sejak usianya 19 tahun. Apa yang diimpikan adalah kulit licin bak telur, tetapi sebaliknya, kulit wajahnya rosak teruk.

Selepas bertahun guna produk tersebut, Mimie akhirnya berhenti selepas berkahwin pada usia 25 tahun. Tapi, malangnya, keputusan itu datang terlambat. Kulitnya yang dah rosak mula ‘mengamuk’—jerawat besar bernanah tumbuh, merebak ke seluruh wajah.

“Tidur malam jadi mimpi ngeri, menangis hampir setiap masa. Bila mandi, nanah keluar meleleh. Sakit kepala tak terkata sebab breakout teruk. Sentuh muka pun sakit, apatah lagi nak cuci muka. Hanya Allah yang tahu peritnya,” kongsinya dengan penuh emosi.

Kulit yang semakin parah memberi kesan mendalam pada fizikal dan emosi Mimie. Dia merasa malu dan rendah diri, hingga lebih rela berkurung di rumah daripada berdepan dengan pandangan orang luar yang sering menunjukkan reaksi geli dan takut.

“Kalau terpaksa keluar, saya pakai pelitup muka untuk sembunyikan jerawat bernanah. Tapi, pelitup muka itu pula buat nanah pecah, berdarah, dan menyebabkan sakit yang tak tertahan,” tambahnya dengan nada sayu.

Walaupun dah cuba macam-macam rawatan, termasuk di Kuala Lumpur, kulitnya tetap tak menunjukkan sebarang perubahan. Keadaannya makin teruk.

Di sebalik semua cabaran ini, Mimie bersyukur kerana suaminya tetap setia dan tak pernah melukakan hatinya. “Suami selalu puji saya cantik, walaupun saya rasa sebaliknya. Dia yakin kulit saya akan pulih satu hari nanti,” katanya, penuh harapan.

Kini, kisah Mimie jadi tular di TikTok dengan video-videonya telah mencecah lebih 2.3 juta tontonan. Buat masa ini, Mimie sedang menjalani rawatan di AINAA Clinic yang ditaja penuh oleh pempengaruh media sosial, Hafiz Mahamad, dan isterinya, Syafiqah Aina.


Similar Posts