| |

Lokasi Rahsia MH370 Didedahkan? Pakar Ini Dakwa Temui ‘Persembunyian’ Pesawat

Sumber : The Vocket

Sudah lebih 10 tahun sejak dunia digemparkan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang begitu saja selepas berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014. Walaupun pelbagai teori dan spekulasi muncul, bangkai pesawat itu masih tidak ditemui hingga kini. Namun, seorang saintis kini tampil mendakwa bahawa beliau telah menemui lokasi ‘persembunyian’ MH370!

Pesawat tersebut membawa 239 orang, termasuk 227 penumpang dan 12 anak kapal. Serpihan yang dipercayai milik MH370 pernah dijumpai, tetapi misteri sebenar di mana bangkai pesawat itu berada masih tidak terungkai.

Vincent Lyne, seorang saintis dari Institut Pengajian Marin dan Antartika di Universiti Tasmania, baru-baru ini mendakwa bahawa beliau telah menemui ‘tempat persembunyian’ MH370. Lapor news.com.au, Lyne mendasarkan dakwaannya pada kertas penyelidikan bertajuk “Final Two Communications from MH370 Suggests Controlled Eastward Descent”, di mana beliau mengemukakan teori baru tentang apa yang sebenarnya berlaku kepada MH370 dan di mana ia mungkin berada.

Menurut Lyne, pesawat tersebut tidak terhempas kerana kehabisan bahan bakar seperti yang difikirkan ramai. Sebaliknya, beliau percaya pesawat itu sengaja diterbangkan dan mendarat di lautan. “Dalam kertas ini, naratif tentang kehilangan MH370 berubah daripada ‘tiada siapa yang salah’ kepada seorang juruterbang yang bertindak dengan sengaja untuk menyembunyikan pesawat ini di Lautan Hindi Selatan,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa bukti-bukti menunjukkan kerosakan pada sayap, flap, dan flaperon MH370 adalah hasil daripada pendaratan terkawal yang disengajakan, mirip dengan pendaratan cemas oleh Kapten Chesley “Sully” Sullenberger di Sungai Hudson pada 2009.

Lebih mengejutkan, Lyne percaya bahawa lokasi sebenar MH370 adalah di mana garis bujur Lapangan Terbang Penang bersilang dengan laluan simulator rumah juruterbang yang pernah ditemui oleh FBI tetapi diabaikan. Lokasi tersebut dikatakan berada di dalam sebuah lubang sedalam 6000 meter di hujung timur Broken Ridge—sebuah kawasan lautan yang terkenal dengan kedalaman ekstrem dan habitat lautan dalam yang jarang ditemui.

Menurut Lyne, “Lubang ini dikelilingi oleh tebing curam dan rabung besar—tempat persembunyian yang sempurna.” Beliau menyeru pihak berkuasa untuk segera mengesahkan lokasinya.

Walaupun keputusan untuk memulakan pencarian di kawasan itu terletak pada pihak berkuasa, Lyne yakin bahawa MH370 terletak di sana, dan sebab mengapa pencarian sebelumnya gagal menemuinya adalah kerana kawasan tersebut terlalu mencabar untuk diterokai.

PERHATIAN : Pihak Osedapdotcom ingin mengingatkan pembaca supaya berfikir panjang sebelum meninggalkan sebarang komen. Kami tidak bertanggungjawab atas komen yang diberikan, dan segala komen adalah hak serta tanggungjawab penulisnya sendiri.

Similar Posts