| |

Buaya Tembaga ‘Tersesat’ di Taman Tasik Shah Alam Akhirnya Ditangkap!

Selepas tular mengenai seekor buaya yang ‘tersesat’ di Tasik Shah Alam Seksyen 7, akhirnya haiwan itu berjaya ditangkap kurang dari 24 jam! Buaya tembaga jantan sepanjang 1.68 meter itu memasuki perangkap yang dipasang sekitar jam 10.20 malam tadi (4 September).

Warga Shah Alam Terkejut Dengan Kehadiran Buaya di Tasik Popular!

Pada 3 September, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati ketika beriadah di Taman Tasik Seksyen 7. Amaran ini susulan tularnya gambar dan video seekor buaya yang berkeliaran di sekitar tasik tersebut, yang dimuat naik di Facebook Shah Alam Residen.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak MBSA memasang pita keselamatan di kawasan sekitar tasik bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. Aktiviti seperti berjoging dan memancing turut dilarang sementara waktu untuk memberi laluan kepada operasi menangkap buaya oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Kurang dari 24 Jam, Buaya ‘Tertangkap’!

Menurut Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh, operasi menangkap buaya tersebut berjaya dalam masa kurang dari sehari. Buaya tembaga jantan berumur tiga hingga lima tahun dengan berat dianggarkan 15 hingga 20 kilogram ini dilaporkan masuk ke dalam perangkap pada jam 10.20 malam, hanya beberapa jam selepas perangkap dipasang.

“Kejayaan ini adalah antara operasi paling pantas yang kita lakukan. Tidak sampai 24 jam perangkap dipasang, buaya tersebut sudah termakan umpan segar yang disediakan,” kata Wan Mohd Adib.

Tasik Sunyi Jadi Punca Buaya Masuk Perangkap

Suasana sepi di tasik selepas ditutup oleh MBSA pada waktu malam memudahkan operasi menangkap buaya. Kurangnya gangguan di kawasan tersebut dipercayai menyebabkan haiwan itu lebih mudah memasuki perangkap.

Dalam masa terdekat, Perhilitan juga meminta pihak MBSA untuk menutup kawasan tasik selama satu hingga dua hari lagi bagi memastikan keselamatan dan memantau jika masih ada buaya lain di sekitar lokasi tersebut. Buaya yang berjaya ditangkap akan dipindahkan ke Paya Indah Wetlands.

Banjir Kilat Punca Buaya ‘Tersesat’?

Operasi mengangkat perangkap bermula pada jam 11.25 malam, dan buaya berjaya dikeluarkan sepenuhnya dari perangkap pada jam 12.05 tengah malam. Difahamkan, banjir kilat dan hujan lebat yang berlaku baru-baru ini mungkin menjadi faktor buaya tembaga itu ‘tersesat’ ke Tasik Shah Alam.

Dengan lebih 20 anggota Perhilitan dan MBSA terlibat dalam operasi ini, kejayaan pantas menangkap buaya tersebut memberi kelegaan kepada penduduk sekitar.

Sumber : The Rakyat Post

Similar Posts