“Malaysia Memang Boleh!” – Johan Ghazali Tewaskan Josue Cruz di ONE 168: Denver, Raih Bonus RM216,699!
Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, atau lebih mesra dipanggil Jojo, terus mencuri perhatian dunia muay thai! Selepas menewaskan Josue Cruz dalam aksi sengit di ONE 168: Denver, Jojo bukan sahaja mengukuhkan rekod 6-1, tapi turut pulang dengan bonus lumayan AS$50,000 (RM216,699).
KO di Pusingan Pertama, Jojo Tak Beri Peluang!
Bertempat di Ball Arena, Denver, Colorado, perlawanan ini jadi saksi kegemilangan Jojo yang berjaya menundukkan lawan dari Mexico, Josue Cruz, hanya pada pusingan pertama. Knockout (KO) itu menggemparkan penonton dan membuktikan Jojo kini berada di liga tersendiri.
Yang lebih manis, kemenangan ini hadir di negara kelahiran ibunya, Jeanna Johnson, menambah lagi makna kejayaan tersebut.
Penebusan Kekalahan, Jojo Bangkit Kembali!
Bagi Jojo, kemenangan ini adalah bukti semangat juang yang tak pernah pudar selepas kekalahan pahitnya kepada Tran Duy Nhat Nguyen di ONE 167 sebelum ini. Kekalahan pertama dalam karier profesionalnya itu menjadi pengajaran berharga dan kini, Jojo kembali lebih kuat.
“Alhamdulillah, Malaysia Boleh!” – Jojo Syukur Selepas Menang
“Pertama sekali, Alhamdulillah atas kemenangan ini,” ujar Jojo penuh syukur.
“Cruz berjaya menyerang saya dengan beberapa pukulan hingga hidung berdarah, tapi saya tetap bertahan. ALLAH yang memberi saya kekuatan, dan saya yakin usaha yang saya letakkan setiap hari membuahkan hasil.”
Jojo juga tidak lupa kepada peminat di tanah air. “Assalamualaikum Malaysia, apa khabar semua? Saya rindu betul dengan Malaysia. Malaysia boleh, Alhamdulillah!”
Bonus Kedua Pada Usia 17 Tahun – “Macam Tak Percaya!”
Dalam usia muda, Jojo sudah meraih bonus kedua dalam kariernya. “Saya pernah kata masa bonus pertama pada usia 16 tahun, ia gila! Sekarang baru 17 tahun, dan dapat bonus lagi. Macam tak percaya!” katanya teruja.
Sumber : SAYS