·

“Blogger Kontroversi Raja Petra Kamarudin Meninggal Dunia di UK Pada Usia 74 Tahun”

Blogger terkenal dan penuh kontroversi, Raja Petra Kamarudin, atau lebih dikenali sebagai RPK, telah meninggal dunia di Manchester, UK, di mana beliau menetap selama beberapa tahun.

Raja Petra Kamarudin, yang berusia 74 tahun, dilaporkan meninggal dunia pada malam semalam (9 September) sekitar pukul 11:26 malam waktu UK. Khabar duka ini disahkan oleh adiknya, Raja Idris.

Lahir pada 27 September 1950, RPK melancarkan laman web Malaysia Today pada tahun 2004, yang terkenal dengan artikel dan ulasan tajam mengenai politik Malaysia. Kritik pedasnya terhadap elit politik dan kerajaan sering kali menimbulkan kemarahan di kalangan ahli politik.

Salah satu pendedahan terkenalnya melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, berkaitan dengan pembunuhan Altantuya Shaariibu. Pendedahan ini menyebabkan RPK ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 2008.

Namun, pada 7 November 2008, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa penahanan beliau adalah tidak sah dan RPK dibebaskan. Beliau kemudian memilih untuk melarikan diri dari negara dan memohon suaka di UK pada tahun 2009. Sejak itu, RPK telah menetap di Manchester dan terus meluahkan pandangannya melalui blognya.

Sumber : TRP