“Laut Pulangkan Semula” – Sampah Terlonggok Akibat Ribut & Ombak Besar di Pulau Pinang, Rakyat Kecewa
Fenomena ribut dan ombak besar yang melanda Pulau Pinang baru-baru ini bukan sahaja mengejutkan penduduk, tetapi turut menyebabkan longgokan sampah sarap yang terdampar di sekitar pusat beli-belah Straits Quay, George Town.
Sejak 17 September, media sosial dipenuhi dengan perkongsian mengenai air pasang besar yang melanda Pulau Pinang, disertai hujan lebat dan ribut kuat. Kejadian ini menimbulkan suasana tegang, dan pihak Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) telah mengeluarkan amaran supaya orang ramai menjauhi kawasan pantai kerana ombak yang berbahaya.
Satu video tular di X (Twitter) memaparkan bangunan yang rosak akibat pokok tumbang di Tree Square, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Sampah Laut Terhimpun di Darat
Dalam sebuah hantaran yang tular di Facebook, seorang wanita, Petra Burton, berkongsi keadaan selepas ribut melanda di Straits Quay. Kelihatan longgokan sampah dari laut seperti bungkusan plastik, sisa makanan, botol minyak, dan pelbagai objek lain yang bertaburan di kawasan itu.
“Laut kembalikan sampah kita,” tulis Petra dalam kapsyennya, menggambarkan bagaimana sampah yang dibuang ke laut akhirnya dikembalikan semula ke darat oleh alam semula jadi.
Netizen Luah Kecewa
Ramai yang meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir individu yang tidak bertanggungjawab mencemarkan alam sekitar. Seorang pengguna media sosial berkata, “Aku tak akan faham dengan orang yang pergi pantai cantik tapi buang sampah sesuka hati. Memalukan diri sendiri.”
Seorang lagi pengguna menambah, “Manusia tak beradab ada di mana-mana. Laut hanya pulangkan balik kepunyaan kita.”
Ada juga cadangan agar komuniti setempat bekerjasama membersihkan kawasan yang terjejas, namun ramai yang kecewa dengan kesedaran tentang kebersihan yang masih rendah dalam kalangan masyarakat.
Menjaga Alam Sekitar: Tuntutan Dalam Islam
Memetik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, menjaga alam sekitar adalah salah satu tuntutan agama Islam. Kerosakan ke atas muka bumi termasuk dalam larangan Tuhan, dan umat Islam diwajibkan untuk memelihara alam ini daripada kemusnahan.
Sumber : The Rakyat Post