Lebih Separuh Rakyat Singapura Mahu Pindah Johor – Demi Jimat Kos Hidup
Hidup di Singapura memang hebat, tapi kemewahan itu datang dengan harga yang tinggi, terutamanya dalam hal kos sara hidup. Bukan saja warga asing yang rasa terbeban, rakyat Singapura sendiri pun kini mula cari alternatif yang lebih mesra poket, dan Johor Bahru (JB) jadi destinasi pilihan.
Menurut laporan dari The Independent SG, dalam satu tinjauan yang melibatkan 1,548 penduduk Singapura, sebanyak 55% menyatakan mereka bersedia untuk pindah ke JB untuk mengurangkan beban kewangan, sementara 45% lagi memilih untuk kekal di negara mereka.
Yang menariknya, ramai sebenarnya dah pun buat keputusan pindah ke JB sambil tetap berulang-alik ke Singapura untuk bekerja. Memang masuk akal, sebab Johor Bahru, yang hanya dipisahkan oleh Tambak Johor, memang memberikan kelebihan besar dari segi kos sara hidup.
Data daripada Numbeo menunjukkan bahawa kos hidup di JB, tanpa kira sewa, adalah 66.1% lebih rendah berbanding Singapura. Tambah sekali kos sewa, perbezaannya lagi ketara – JB menawarkan kos sara hidup 74.6% lebih murah, dengan harga sewa di JB 87.3% lebih rendah.
Bayangkan, harga makanan di restoran di JB 59.1% lebih murah, dan harga barangan runcit pula 52.3% lebih rendah. Bagi mereka yang bekerja di Singapura tapi menikmati kos hidup jauh lebih rendah di JB, penjimatan yang besar ini memang sukar ditolak!
Sumber : The Vocket