| |

UPSR & PT3 Tidak Akan Dikembalikan: Anak-anak Bukan Tikus Makmal – Fadhlina


Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) kekal dimansuhkan dan tidak akan dikembalikan, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Mengikut laporan Utusan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih berpegang kepada keputusan yang dibuat pada 2022. Namun, beliau menegaskan bahawa sebarang cadangan untuk mengembalikan kedua-dua peperiksaan tersebut perlu melalui pertimbangan menyeluruh dan tidak boleh dilihat dari satu sudut sahaja.

“Anak-anak kita bukan tikus makmal yang kita nak ulang kaji mereka, sekejap ada peperiksaan, sekejap tidak ada,” ujar Fadhlina ketika sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KPM.

Beliau memberi respon terhadap saranan beberapa pihak termasuk bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang mencadangkan UPSR dan PT3 dikembalikan.

Dasar Pendidikan Perlu Disemak Semula

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mencadangkan supaya dasar pendidikan bagi pelajar Tahun 3 dan Tingkatan 3 disemak semula setelah mendapati masalah ketidakcekapan dalam kemahiran asas 3M – membaca, menulis, dan mengira – masih wujud.

Fadhlina menyatakan bahawa cadangan ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan menyatakan bahawa langkah penegasan KPM kini tertumpu kepada pentaksiran bilik darjah (PBD). Latihan intensif juga diberikan kepada guru-guru bagi memastikan kemajuan pelajar tidak terjejas.

UPSR dan PT3 Dalam Konteks Pendidikan Baharu

Menurut Fadhlina, KPM sedang memberi fokus besar kepada Kurikulum Persekolahan 2027 dan Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu, dengan pelbagai input daripada sesi libat urus, termasuk peperiksaan UPSR.

UPSR, yang mula diperkenalkan pada tahun 1988, ditujukan untuk menilai keupayaan pelajar dalam kemahiran asas 4M: membaca, menulis, mengira, dan menaakul. Sementara itu, PT3, yang menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR), dilaksanakan pada 2014 dan dimansuhkan pada tahun 2022.

Sumber : Oh My Media

Similar Posts