Siti Saleha Berjaya Rangkul Anugerah ‘Bintang Asia Terbaik- Malaysia’ Di Korea
Umum mengetahui, pelakon Siti Saleha telah berangkat ke Seoul, Korea bagi menghadiri Seoul International Drama Awards 2024 yang berlangsung, hari ini. Terbaru, Siti Saleha atau lebih mesra disapa sebagai Sally, berjaya meraih Anugerah Bintang Asia Terbaik- Malaysia. Tahniah!
Alhamdulillah, gembira sangat
Menerusi temu bual bersama OhBulan!, Sally berkata, dia mahu berterima kasih kepada peminat yang mengundinya bagi kategori Outstanding Asia Star. Sebagai pelakon yang sudah lama di dalam industri seni, Sally meluahkan rasa bangga dapat mewakili Malaysia di acara berprestij seperti itu.
“Ini peluang yang sangat besar buat saya kerana dapat mewakili Malaysia dan ia juga untuk perkembangan karier saya setelah sekian lama menjadi pelakon.”
Tambahnya, dia berharap pencapaian ini akan membuka peluang lebih besar di masa hadapan, sambil menekankan bahawa ramai lagi bakat seni dari Malaysia yang layak mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Ini juga bukti kepada semua orang agar jangan berputus asa. Teruskan apa yang anda ingin lakukan.”
Keluarga dan Peminat Gembira
Sally turut berkongsi bahawa kedua ibu bapanya sangat gembira dengan kemenangan tersebut, sambil mendedahkan bahawa dia telah memberitahu ayahnya menerusi panggilan telefon.
“Saya ada beritahu ayah melalui panggilan telefon mengenai kemenangan ini dan dia sangat gembira.”
Bercerita mengenai peminat, Sally mengakui bahawa dia sangat bertuah kerana memiliki peminat yang sentiasa setia menyokongnya dari awal kerjayanya hingga sekarang.
“Mereka sentiasa ada bersama saya dan beri sokongan yang sangat luar biasa. Terima kasih sangat-sangat untuk mereka.”
Terdahulu, Sally dicalonkan menerusi drama bersiri SeOfis yang ditayangkan di TV3 dan Tonton.
Pelakon ini juga tidak menolak jika ada peluang untuk berlakon di luar negara pada masa akan datang, dengan mengatakan bahawa dia terbuka untuk belajar bahasa baru atau cabaran baru sekiranya mendapat peluang tersebut.
Sumber : Oh Bulan