Khabib Nurmagomedov Pelawa Jojo ke Dagestan: Peluang Emas untuk Bintang Muay Thai Malaysia!
KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Bekas juara dunia lightweight Ultimate Fighting Championship (UFC), Khabib Nurmagomedov, telah mempelawa jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali Zulfikar, atau lebih dikenali sebagai Jojo, untuk berlatih di pusat latihannya di Republik Dagestan, Rusia.
Khabib, yang terkenal dengan kemahiran luar biasa dalam seni bela diri campuran (MMA), tidak hanya kagum dengan bakat yang dimiliki oleh Jojo tetapi juga menganggap Johan sebagai atlet berbakat yang berpotensi untuk beralih ke sukan MMA pada masa hadapan.
“Saya tahu beliau masih muda dan pejuang yang hebat. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepadanya. Beliau ada memberitahu saya bahawa beliau mahu beralih ke MMA setelah selesai dengan sukan yang diceburinya sekarang. Jika beliau mahu beralih ke MMA, beliau dialu-alukan untuk berlatih bersama kami di Dagestan untuk meningkatkan kemahiran gustinya. Kehadirannya sentiasa dialu-alukan,” kata Khabib dalam satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Khabib, yang kini berusia 36 tahun dan disenaraikan dalam UFC Hall of Fame 2022, turut mengulas tentang potensi sukan tempur di Malaysia. Menurutnya, Malaysia mempunyai banyak atlet berbakat yang mampu mencapai tahap dunia, tetapi negara ini perlu membina asas yang kukuh melalui jurulatih berpengalaman dan sistem latihan yang mantap.
“Saya mengikuti perkembangan MMA di seluruh dunia dan saya sedar tentang atlet berbakat serta jaguh Muay Thai yang anda miliki ketika ini. Tetapi Malaysia memerlukan lebih ramai jurulatih yang berkelayakan dan rangka kerja yang kukuh untuk memupuk bakat terbaik MMA,” tambahnya.
Khabib menekankan bahawa kejayaan Dagestan dalam melahirkan juara dalam pelbagai sukan tempur adalah hasil daripada sistem yang hebat dengan jurulatih berkemahiran tinggi.
“Untuk membangunkan atlet di peringkat tertinggi, anda perlu membina sistem yang kukuh hasil gabungan atlet yang baik dan jurulatih yang cemerlang,” ujarnya lagi.
Sumber : Siakap keli