| |

Putera Mahkota Saudi Raja Mohammed Salman: ‘Palestin Bukan Prioriti Saya’ – kerana ia mengancam hubungan normalisasi dengan USA

Perbincangan antara Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, dan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, yang didedahkan oleh laporan The Atlantic, telah mencetuskan perdebatan hangat mengenai pendirian Riyadh terhadap konflik Israel-Palestin.

Menurut Middle East Eye, dalam perbincangan yang berlaku pada Januari lalu, Mohammed bin Salman dilaporkan menyatakan bahawa beliau secara peribadi tidak peduli tentang “isu Palestin”, tetapi menyedari bahawa golongan muda Saudi, yang membentuk sebahagian besar populasi negara, semakin prihatin terhadapnya. Walaupun beliau secara peribadi mungkin tidak mengambil berat tentang Palestin, beliau mengakui bahawa beliau perlu mempedulikannya kerana kepentingan rakyat.

Perbincangan itu juga tertumpu kepada kemungkinan Arab Saudi akan menormalisasi hubungan dengan Israel, meskipun perang di Gaza sedang berlaku. Blinken bertanya sama ada Saudi akan bertolak ansur jika Israel melancarkan serangan ke atas Gaza, dan Putera Mahkota dilaporkan berkata bahawa beliau tidak mahu situasi tegang di Palestin memberi kesan kepada perjanjian normalisasi.

Namun, laporan tersebut telah mencetuskan banyak spekulasi dan reaksi, memandangkan Mohammed bin Salman secara terbuka menyatakan bahawa Arab Saudi tidak akan menormalisasi hubungan dengan Israel tanpa penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Seorang pegawai Saudi menyifatkan laporan ini sebagai “tidak tepat,” sambil menegaskan bahawa Putera Mahkota telah berkali-kali menegaskan komitmen Kerajaan Saudi dalam usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka. Dalam ucapannya di Majlis Shura, beliau berkata, “Kerajaan tidak akan berhenti dalam usaha mereka untuk menubuhkan negara Palestin yang berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.”

Di sebalik itu, Mohammed bin Salman juga mendedahkan kebimbangan peribadinya tentang risiko yang mungkin dihadapinya jika meneruskan usaha untuk normalisasi dengan Israel. Merujuk kepada Presiden Mesir, Anwar Sadat, yang dibunuh selepas menandatangani perjanjian damai dengan Israel, beliau berkata, “Saya mungkin akan terbunuh kerana perjanjian ini.”

Walau bagaimanapun, beliau percaya bahawa peluang untuk mencapai perjanjian ini lebih mudah di bawah pentadbiran Joe Biden kerana sokongan daripada kumpulan progresif AS, sekiranya penubuhan negara Palestin turut dimasukkan dalam perjanjian.

Sumber : The Vocket

Similar Posts