Bella Astillah Tuntut Ruang Untuk Move On, Aliff Aziz Tak Hubungi Anak Sejak Bercerai
Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, mengungkapkan bahawa bekas suaminya, Aliff Aziz, tidak pernah menghubunginya untuk bertanya khabar anak-anak mereka sejak perpisahan mereka pada 13 Jun lalu. Bella, yang nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 30, menyatakan bahawa dia tidak mempertikaikan tindakan Aliff kerana berpendapat lebih baik jika mereka tidak berinteraksi.
“Kalau boleh, saya tidak mahu ulas mengenai Aliff lagi. Sejak kes perceraian itu, saya tidak menerima sebarang mesej atau DM daripada dia. Namun, saya okay dan tidak ada masalah dengan situasi ini. Lebih baik begini. Itu adalah jalan terbaik bagi saya. Saya tidak bersedia untuk bersemuka,” jelasnya ketika hadir di majlis pelancaran lagu terbaharu berjudul “Tapi Bukan Denganmu”.
Bella turut mendedahkan bahawa dua anak mereka, Ayden Adrean dan Ara Adreanna, juga tidak pernah bertanya tentang bapa mereka. “Alhamdulillah, anak-anak tidak mencari. Saya takut jika mereka berfikir yang bukan-bukan. Sekarang mereka lebih fokus belajar,” katanya.
Dia menambah, “Saya sedang berusaha untuk ‘heal’ diri sendiri, jadi saya tidak ‘stalk’ perkembangan Aliff. Saya doakan yang terbaik buat dia dan keluarganya.”
Mengenai kehidupannya selepas perceraian, Bella mengakui bahawa proses untuk ‘move on’ tidak mudah. “Hubungan kami selama 12 tahun tidak mudah untuk dilupakan, tetapi saya percaya lambat laun, saya akan dapat melaluinya. Dengan adanya anak-anak dan sokongan keluarga, masa itu akan tiba,” ujarnya.
Imbas kembali, Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua anak. Walaupun mereka pernah berpisah pada 16 Mei 2019 kerana isu kecurangan, mereka kembali rujuk sebelum disahkan bercerai pada bulan Jun lalu.
Sumber : Oh Bulan