‘Dua Tahun Hidup Sengsara: Fazura Dedah Fattah Curang dan Abaikan Nafkah’
Pelakon Nur Fazura mendedahkan punca dia memfailkan perceraian terhadap suami, Fattah Amin, adalah disebabkan tindakan aktor itu yang culas membayar nafkah dan berlaku curang terhadapnya.
Dua Tahun Hidup Dalam Kesengsaraan
Menurut Fazura, yang lebih dikenali dengan nama Nur Fazura Sharifuddin, 41, dia sudah dua tahun hidup dalam keadaan tidak bahagia.
“Bertahun-tahun saya hidup dalam sengsara. Saya reda dengan perceraian ini. Fattah telah abaikan nafkah saya dan Fatima. Kami juga tiada persefahaman, kami sudah lama tidak bahagia. Saya sudah lama bertahan dalam situasi ini,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pada Isnin.
Fazura menambah, emosi dan mentalnya sangat terganggu akibat keadaan itu. Dia juga menegaskan bahawa Fattah pernah berlaku curang terhadapnya dan dia memiliki bukti mengenainya.
Pengorbanan yang Tidak Dihargai
Menyentuh tentang pengorbanannya, Fazura menjelaskan bahawa dia telah memberikan segalanya untuk Fattah, termasuk menyediakan tempat tinggal, makan minum, dan bahkan menghadiahkan kereta Range Rover untuk keselesaan suaminya. Namun, semua itu seolah-olah tidak dihargai.
“Jadi dakwaan kata saya tidak sekufu dengan Fattah adalah tidak benar sama sekali. Kalau kami tidak sekufu, dari awal saya tidak berkahwin dengannya. Tetapi pengorbanan saya diambil kesempatan, itu yang membuat saya sangat kecewa,” ujarnya.
Fattah dan Fazura disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada Isnin. Lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh, kira-kira jam 9.45 pagi.
Fazura memfailkan permohonan cerai pada 13 September lalu. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia tiga tahun.
Sumber : Oh Bulan