BMW Hadiah Honda Day Didakwa Pernah Terlibat Kemalangan Teruk, Rim bengkok
Netizen Pertikai Keadaan Kereta
Kontroversi yang menyelubungi acara Honda Day 2024 masih lagi berlarutan, meskipun penganjur sudah menggantikan hadiah lucky draw dari kereta Honda SM4 kepada BMW F30. Terdahulu, pemenang lucky draw mendapati rim kereta tersebut bengkok, menimbulkan kekecewaan.
Terbaharu, kereta BMW yang dijadikan hadiah lucky draw itu kini didakwa pernah terlibat dalam dua kemalangan teruk atau ‘High Severity’.
Perkara ini didedahkan oleh SCRUT, sebuah platform yang memberikan maklumat dan sejarah keadaan sesebuah kenderaan. Menerusi satu hantaran di Facebook, SCRUT mendedahkan bahawa kereta tersebut mempunyai rekod dua kemalangan teruk.
“Kereta ini dilaporkan mempunyai rekod kemalangan ‘High Severity’, termasuk kemalangan yang mungkin disebabkan oleh kecuaian pemilik, seperti terbabas atau melanggar kenderaan lain,” kata SCRUT dalam kenyataan mereka.
Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kerosakan yang dialami, SCRUT menyarankan agar kereta tersebut dihantar untuk pemeriksaan fizikal bagi menilai tahap kerosakan secara menyeluruh.
Setakat ini, pihak penganjur acara Honda Day 2024 masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas mengenai dakwaan tersebut.
[Kemas Kini]
Dalam satu perkongsian terbaharu dari pihak SCRUT, maklumat dalaman mengesahkan bahawa laporan kemalangan membabitkan BMW hadiah Honda Day tersebut memang wujud, memperkukuhkan lagi dakwaan bahawa kereta itu pernah mengalami kerosakan yang signifikan.
Sumber : The Vocket