| |

Pembelian Besar-Besaran Rumah oleh Warga China: Manfaat Ekonomi atau Beban kepada Rakyat Tempatan

Kebanjiran warga China yang membeli rumah di Malaysia mencetuskan pelbagai reaksi, dengan kesan positif dan negatif yang dirasai oleh rakyat tempatan, terutamanya dalam sektor hartanah dan ekonomi negara.

Dari sudut positif, peningkatan pembelian warga China, khususnya dalam segmen hartanah mewah di kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, dan Pulau Pinang, telah merancakkan pasaran tempatan. Permintaan yang tinggi ini bukan sahaja memacu pembangunan infrastruktur dan projek berskala besar, malah turut membuka peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan dan hartanah.

Namun begitu, menurut pakar hartanah, Profesor Madya Dr. Muhammad Najib Razali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), ada kesan negatif yang turut dirasai oleh rakyat tempatan. Antara kebimbangan utama adalah peningkatan harga rumah yang menyebabkan rakyat Malaysia, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, semakin sukar untuk memiliki rumah.

“Ketidakseimbangan pasaran ini menyebabkan lebihan bekalan hartanah premium, sedangkan rumah mampu milik masih kekal sukar dibeli,” katanya kepada Harian Metro.

Di samping itu, pembelian secara besar-besaran oleh warga asing juga menimbulkan kebimbangan terhadap kedaulatan tanah dan pengaruh asing dalam hartanah tempatan. Ini menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat yang bimbang hartanah tersebut dibeli untuk tujuan pelaburan semata-mata tanpa niat untuk menetap.

Walaupun pelaburan asing seperti ini mampu merangsang pembangunan ekonomi, impaknya kepada rakyat tempatan seperti peningkatan kos hidup dan cabaran dalam pemilikan rumah perlu diberi perhatian. Kerajaan disarankan untuk mewujudkan polisi khas bagi mengawal pemilikan hartanah oleh warga asing, demi menjaga kepentingan rakyat Malaysia.

Kehadiran warga China dalam pasaran hartanah Malaysia membawa peluang besar dari sudut ekonomi, tetapi jika tidak dikawal dengan baik, ia boleh menjadi cabaran besar kepada rakyat tempatan yang masih bergelut untuk memiliki kediaman sendiri.

Sumber : The Vocket

Similar Posts